Al-Salam REIT sasar naikkan aset industri kepada 30%, KOMTAR JBCC kekal pemacu utama — Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Al-Salam REIT sasar naikkan aset industri kepada 30%, KOMTAR JBCC kekal pemacu utama — Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Dis Al-Salam REIT menetapkan sasaran strategik untuk meningkatkan pendedahan aset industri kepada sekitar 30% daripada keseluruhan portfolio, kata Maybank Investment Bank.


Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah terbaharu itu merupakan sebahagian daripada hala tuju transformasi kumpulan pelaburan hartanah berkenaan di bawah pelan yang dikenali sebagai DISRUPT27.


Menurutnya, fokus terkini itu mencerminkan usaha dana amanah patuh Syariah tersebut berupaya dalam membina portfolio yang lebih defensif dan mampu kukuh berdaya tahan untuk tempoh jangka sederhana.


"Berdasarkan perkembangan semasa ini, kami masih lagi mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Al-Salam REIT, dengan harga sasaran juga tidak berubah iaitu 47 sen," kata Maybank IB dalam notanya.


Ketika ini, segmen runcit merangkumi kira-kira 54% nilai aset, manakala aset industri berada di bawah 20%, kebanyakannya terdiri daripada hartanah penyewaan restoran perkhidmatan pantas (QSR).


Walaupun sasaran ditetapkan sebanyak 30% itu adalah jelas, firma tersebut masih menekankan bahawa pertumbuhan selepas ini akan dipacu secara berperingkat selaras kapasiti lembaran imbangannya.


Aset komersial makanan dan minuman (F&B) dikendalikan Al-Salam REIT pula kata Maybank IB, dijangka kekal stabil tetapi tidak lagi menjadi pemacu pertumbuhan utama di bawah pelan baharu berkenaan.


"Proses 'penyegaran semula' KOMTAR JBCC di Johor Bahru, Johor terus menunjukkan perkembangan baik, disokong peningkatan momentum penyewaan dan usaha penambahbaikan setiap profil penyewa," katanya.


Penyewa utama termasuk pasar raya dan penyedia perkhidmatan perubatan telah disahkan, meskipun kemajuan fizikal bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa serta kerja-kerja pemulihan lanjut.


Walaupun kadar penghunian keseluruhan dijangka kekal sekitar 70%, penutupan sementara ruang medan selera untuk inisiatif peningkatan aset (AEI), dijangka memberi kesan minimum pendapatannya.


Pengurusan kompleks itu kata Maybank IB, menjangkakan kadar sewa akan meningkat apabila penyewa baharu mula beroperasi, namun RTS Johor Bahru–Singapura terus menjadi pemacu pertumbuhan utama.


"KOMTAR JBCC disasar muncul sebagai destinasi runcit orientasi transit, apabila dibangunkan semula sebagai zon 'grab-and-go' yang dijangka meningkatkan kadar sewa menjelang akhir 2026," katanya.


Pembukaan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) pada 12 Disember 2025 turut dijangka mengukuhkan kesalinghubungan dan trafik pelawat, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia dan Johor 2026. 


Maybank IB menjangka sumbangan hasil kumpulan ini lebih ketara hanya bermula pada separuh kedua tahun depan, dengan penyemakan semula kadar penyewaan sekitar 20% dalam tahun kewangan 2026.


Usaha Al-Salam REIT menerbitkan sukuk baru-baru ini kata firma itu, akan meningkatkan ketelusan pembiayaan, memanjangkan tempoh matang hutang serta menaikkan komponen kadar tetap kepada 72%.


"Ini membantu merendahkan kos pembiayaan mulai 4Q25, tetapi nisbah hutang kepada aset iaitu 48% masih dianggap tinggi dan boleh mengehadkan pengembangan portfolio," jelasnya lagi. - DagangNews.com