Al-Aqar Healthcare REIT catat pendapatan RM29.2 juta pada suku pertama 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Al-Aqar Healthcare REIT catat pendapatan RM29.2 juta pada suku pertama 2025

Gambar/Al-Aqar Healthcare REIT
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Mei - Al-Aqar Healthcare REIT mencatatkan prestasi stabil pada suku pertama 2025 dengan pendapatan sebanyak RM29.2 juta, menurun 2.2% berbanding RM29.8 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pengurusnya, JLG REIT Managers Sdn Bhd memaklumkan, Al-Aqar Healthcare REIT mencatat hasil sebanyak RM29.2 juta, sedikit menurun berbanding RM29.8 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. 

 

Pendapatan harta bersih (NPI) pula susut kepada RM25 juta berbanding RM26 juta sebelumnya.

 

 

 

 

 

 

Penurunan itu disumbangkan pelarasan sewa di kemudahan penjagaan warga emas di Australia selepas penjualan perniagaan pada tahun lalu, serta penjualan Damai Care & Wellness Centre walaupun berlaku peningkatan sewa tahunan.

 

Al-Aqar Healthcare REIT mengisytiharkan pengagihan sebanyak 1.74 sen seunit, dengan kadar agihan 95.4%, selaras dengan dasar pengagihan melebihi paras pasaran iaitu 95%.

 

Segmen Malaysia kekal sebagai penyumbang utama dengan NPI sebanyak RM24.9 juta, sedikit menurun daripada RM25.5 juta tahun lalu akibat penjualan hartanah dan semakan semula kadar yuran pengurusan.

 

Segmen Australia pula mencatatkan NPI sebanyak RM100,000 berbanding RM600,000 sebelum ini, susulan pelarasan sewa selepas penjualan kemudahan penjagaan di Jeta Gardens.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Aqar Healthcare REIT, Zulhilmy Kamaruddin berkata, walaupun berlaku penurunan hasil, portfolio hartanah penjagaan kesihatan syarikat kekal kukuh dengan pajakan jangka panjang.

 

"REIT berfokuskan penjagaan kesihatan adalah pelaburan yang stabil. Pengambilalihan KPJ Ampang Puteri dan KPJ Pulau Pinang juga dijangka menjana pendapatan sewa tetap sehingga 15 tahun," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut beliau, KPJ Healthcare turut mencatat peningkatan kapasiti katil dan jumlah pesakit pada 2024, yang menyumbang kepada asas pendapatan yang stabil bagi Al-Aqar.

 

"Kerjasama jangka panjang dengan Kumpulan KPJ memastikan pendapatan sentiasa stabil tanpa gangguan besar.

 

"Kami juga sedang mencari peluang baharu untuk membeli aset supaya portfolio kami lebih kukuh pada masa depan," tambahnya. - DagangNews.com