Aktiviti dagangan Bursa Malaysia pada 3QFY25 masih lemah, prestasi di bawah jangkaan - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aktiviti dagangan Bursa Malaysia pada 3QFY25 masih lemah, prestasi di bawah jangkaan - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 Okt – Aktiviti dagangan Bursa Malaysia Berhad masih kekal lemah sepanjang suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25), dipengaruhi oleh sentimen berhati-hati pelabur domestik.


Menurut MBSB Research, situasi itu diburukkan lagi dengan faktor kekurangan pemangkin pasaran tempatan, serta isu ketidaktentuan kadar faedah global yang terus membayangi keputusan pelaburan.


Bagaimanapun katanya, prestasi menunjukkan sedikit pemulihan secara sukuan berikutan peningkatan sederhana dalam nilai dagangan sekuriti dan pertumbuhan berterusan dalam hasil bukan dagangan.


"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Bursa Malaysia, namun menyemak semula harga sasaran (TP) lebih rendah kepada RM8.25, berdasarkan unjuran FY26," jelas firma itu dalam satu notanya.


Semalam, syarikat itu mengumumkan keuntungan sembilan bulan pertama FY25 menurun 21.5% tahun ke tahun (YoY), iaitu paras 65.1% daripada unjuran MBSB Research dan 71% daripada konsensus pasaran.


Walaupun dari segi hasil keseluruhan berada dalam jangkaan katanya, keuntungan pula didapati masih terjejas akibat faktor kenaikan perbelanjaan operasi (opex) lain yang melebihi anggaran awal.


Jumlah hasil 9MFY25 susut 10.3% YoY, disebabkan kelemahan hasil dagangan sekuriti merosot 25.0% YoY, tetapi secara sukuan (QoQ), hasil bukan dagangan pula terus menjadi penyumbang yang stabil.

 

Artikel berkaitan: Untung bersih Bursa Malaysia susut kepada RM189.3 juta bagi 9M2025, akibat kejatuhan dagangan sekuriti

 

"Ia meningkat 4.4% YoY kepada RM192.3 juta, sekali gus mengimbangi kejatuhan segmen dagangan, walaupun nilai dagangan harian purata (ADV) pada separuh pertama FY25 turun 24.8% YoY," katanya.


MBSB Research menambah, pelabur masih berhati-hati dengan penurunan ketara disumbang oleh pelabur institusi domestik dan pelabur runcit yang didapati lebih mengambil pendekatan tunggu dan lihat.


Tambahnya, ia berikutan persekitaran kadar faedah yang tinggi serta kelemahan pasaran modal serantau, manakala aktiviti oleh pelabur asing pula menunjukkan penyusutan yang lebih sederhana.


Keadaan itu jelasnya, menandakan minat luar terhadap pasaran tempatan masih wujud walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar, sementara opex bagi 9MFY25 meningkat 3.5% YoY kepada RM282.8 juta.


"Untuk FY26, opex dijangka naik susulan yuran pengawalseliaan baharu oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) sehingga RM35 juta, tetapi kesan dijangka diimbangi kenaikan beberapa yuran lain," katanya.


Justeru, MBSB Research menilai sasaran keuntungan bersih ditetapkan Bursa Malaysia pada FY25 kepada RM347 juta adalah lebih realistik memandangkan keadaan pasaran yang masih berhati-hati.


Ia menyemak semula unjuran keuntungan FY25, FY26 dan FY27 masing-masing -13.7%, -6.2% dan -6.2%**, mengambil kira prestasi suku ketiga, serta implikasi daripada yuran SC yang bermula FY26.


Firma itu menjangkakan aktiviti dagangan beransur pulih pada suku mendatang, disokong oleh pemulihan sentimen global, dan kemungkinan pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com