Akta Pembaharuan Bandar dijangka adaptasi model Singapura, tumpu keadilan sosial sektor hartanah – CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Akta Pembaharuan Bandar dijangka adaptasi model Singapura, tumpu keadilan sosial sektor hartanah – CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Nov – Pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (URA) dijangka mengadaptasi model seimbang ala Singapura yang menumpukan aspek keadilan sosial dan ketelusan pasaran hartanah.


Menurut CGS International (CGSI), langkah ini dilihat mampu menjadi pemangkin struktural baharu kepada sektor hartanah negara, seiring usaha mempercepat pembangunan bandar lama dan terbengkalai.


Firma penyelidikan tersebut menambah, Malaysia berpotensi mencontohi pendekatan seperti Singapura berbanding model Hong Kong yang disifatkan sebagai lebih agresif menekankan kelajuan pembangunan.


“Pendekatan ala Singapura lebih sesuai dengan struktur pemilikan dan sensitiviti sosial Malaysia, memastikan manfaat pembangunan diagihkan adil kepada pihak terlibat,” katanya dalam satu nota.


Negara jiran itu berjaya menyeimbangkan antara kecekapan pasaran dan kepentingan sosial, dengan ditubuhkan sebuah agensi khusus dikenali Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar sejak 1974.


Rang undang-undang URA kini menuju ke bacaan kedua di Parlimen, selepas dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat pada 21 Ogos 2025, bertujuan mempercepat pembangunan semula hartanah strata lama.


Bagaimanapun, draf tersebut mencetuskan kontroversi apabila menurunkan ambang persetujuan pemilik daripada 100% kepada hanya majoriti sebanyak 80%, yang selaras dengan piawaian antarabangsa.


"Kami difahamkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti 534 tapak berpotensi di seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk 139 lokasi di Kuala Lumpur," kata CGSI lagi.


Jumlah keseluruhan kawasan itu di ibu kota jelas firma penyelidikan berkenaan, meliputi sekitar 1,298 hektar, dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) yang dianggarkan mampu mencecah RM355 bilion.


Berdasarkan tinjauannya ke atas 13 pemaju utama dengan jualan keseluruhan RM23 bilion pada 2024, majoriti berpandangan positif terhadap URA, dan menyifatkannya sebagai pemangkin jangka panjang.


Bagaimanapun mereka kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan peraturan bagi pertumbuhan sektor hartanah, di samping dan tidak menjangka kesan besar terhadap pendapatan dalam tempoh terdekat.


"Hasil analisis sensitiviti CGSI menunjukkan Mah Sing Group sebagai pemaju paling berdaya tahan, manakala SP Setia mencatat pertumbuhan untung bersih tertinggi dalam senario optimis," jelasnya


Tambahnya, Mah Sing memiliki profil risiko-pulangan paling seimbang mampu meraih manfaat jika jualan baharu meningkat, namun kurang terjejas jika projek diterima hanya menggantikan yang sedia ada.


Selain itu, Eco World Development Group turut disenarai sebagai peneraju tema pembaharuan bandar berikutan kejayaan projek BBCC, disokong dengan prospek keuntungan kukuh bagi FY25 hingga FY27.


CGSI berpandangan yang URA bakal mengubah strategi pengumpulan tanah oleh pihak pemaju, membuka peluang pembangunan di lokasi berstatus perdana serta potensi insentif kewangan lebih menarik.


"Pemaju yang diketahui memang memiliki kedudukan kewangan kukuh dijangka dapat menampung kos tanah lebih tinggi dan tempoh matang projek lebih panjang sekiranya URA diwartakan," jelas firma itu.


Ia namun memberi amaran risiko utama termasuk kelewatan pelaksanaan URA, perubahan dasar perumahan serta potensi kenaikan mendadak dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR). - DagangNews.com