KUALA LUMPUR 26 Ogos – Ajinomoto (Malaysia) Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 27.71% kepada RM24.17 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (1QFY26).
Kumpulan tersebut berkata, angka yang diraih dalam tempoh tiga bulan berkenaan adalah lebih tinggi berbanding sebanyak RM18.93 juta direkodkan dalam suku sama pada tahun lalu.
Pendapatan sesaham (EPS) yang diperoleh kumpulan berkenaan turut meningkat kepada 39.75 sen daripada hanya 31.13 sen, dan sejajar dengan prestasi kukuh pada suku tersebut.
"Lonjakan keuntungan bersih ini disokong oleh peningkatan hasil jualan serta penurunan kos bahan mentah utama," kata Ajinomoto dalam makluman syarikat tersebut kepada Bursa Malaysia.
Tambahnya, hasil suku tahunan meningkat 5.52% kepada RM180.9 juta, berbanding RM171.44 juta pada suku pertama tahun sebelumnya, didorong pertumbuhan dalam segmen pengguna dan perindustrian.
Segmen perniagaan pengguna menyumbang RM136.8 juta, meningkat 4.6% daripada RM130.7 juta yang dicatatkan pada 1QFY25, dipacu oleh jualan lebih tinggi ke pasaran rantau Timur Tengah.
Sementara itu, segmen perniagaan perindustrian melonjak 8.4% kepada RM44.1 juta, berbanding RM40.7 juta sebelumnya, hasil daripada peningkatan volum jualan produk perasa industri.
Ajinomoto bagaimanapun tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku itu, sejajar dengan amalan terdahulu untuk menyemak bayaran dividen selepas separuh tahun kewangan atau akhir tahun kewangan.
"Prestasi ini mencerminkan daya tahan permintaan pengguna serta strategi syarikat dalam pengurusan kos bahan mentah secara cekap khususnya ketika harga komoditi tidak menentu," katanya.
Syarikat terus memberi tumpuan kepada pengembangan pasaran eksport, terutama ke Asia Barat dan Asia Tenggara, di samping inovasi produk berasaskan pemakanan sihat selari trend pengguna semasa. - DagangNews.com








