KUALA LUMPUR 30 Jun - Ajinomoto (Malaysia) Berhad melantik Maybank Investment Bank Bhd sebagai penasihat utama dan RHB Investment Bank Bhd sebagai penasihat bebas berhubung cadangan penswastaan syarikat oleh syarikat induknya dari Jepun, Ajinomoto Co Inc.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar perasa dan produk makanan itu berkata, RHB Investment Bank akan menasihati lembaga pengarah, tidak termasuk pengarah berkepentingan iaitu Daisaku Wadami, Taishi Akiyama dan Akihiko Nozaki, serta pemegang saham yang tidak berkepentingan mengenai cadangan tersebut mengikut Peraturan Pengambilalihan, Penggabungan dan Pemerolehan Wajib.
Pelantikan kedua-dua institusi kewangan itu dibuat seminggu selepas Ajinomoto Co Inc mengemukakan cadangan untuk mengambil alih sepenuhnya Ajinomoto (Malaysia) melalui pelaksanaan pengurangan modal terpilih (SCR) dan pembayaran balik pada harga RM20 sesaham.
Syarikat Jepun itu ketika ini memiliki 50.38% kepentingan atau 30.63 juta saham dalam Ajinomoto (Malaysia).
Tawaran beri premium lebih 31%
Harga tawaran RM20 sesaham itu mewakili premium sebanyak 31.6% berbanding harga penutup terakhir saham Ajinomoto (Malaysia) pada RM15.20 sebelum cadangan tersebut diumumkan pada 22 Jun lalu.
Melalui cadangan itu, Ajinomoto Co Inc akan membayar RM603.4 juta bagi memperoleh dan membatalkan 30.17 juta saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti menerusi pelaksanaan SCR.
Sehingga 22 Jun 2026, Ajinomoto (Malaysia) mempunyai modal saham terbitan berjumlah RM65.1 juta yang terdiri daripada 60.8 juta saham.
Bagi memudahkan pelaksanaan cadangan itu, syarikat akan terlebih dahulu melaksanakan terbitan bonus sebanyak 571.1 juta saham. Bagaimanapun, saham bonus tersebut tidak akan dikreditkan kepada pemegang saham dan juga tidak akan disenaraikan di Bursa Malaysia.
Kelulusan pemegang saham diperlukan
Di bawah cadangan itu, semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti bersama-sama saham bonus berkenaan akan dibatalkan menerusi proses SCR.
Cadangan penswastaan itu memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 75% daripada undi yang dibuang oleh pemegang saham tidak berkepentingan dalam mesyuarat yang akan diadakan kelak.
Pada masa sama, undi yang menolak usul tersebut tidak boleh melebihi 10% daripada hak mengundi yang dimiliki oleh pemegang saham tidak berkepentingan, selain tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Saham Ajinomoto (Malaysia) melonjak 25% kepada RM19 pada 23 Jun, iaitu hari dagangan pertama selepas cadangan penswastaan diumumkan. Saham syarikat itu ditutup pada RM18.80 hari ini, menjadikan permodalan pasarannya sekitar RM1.14 bilion. - DagangNews.com








