KUALA LUMPUR 2 Dis – Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo dijangka memulakan operasi bulan hadapan susulan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd yang dijadual dimuktamadkan selewat-lewatnya 31 Disember ini.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, AirBorneo akan memulakan perkhidmatan menggunakan rangkaian sedia ada Rural Air Services (RAS) merangkumi Sarawak, Sabah dan Labuan sebaik proses pengambilalihan selesai.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata dua pesawat iaitu ATR 72-500 dan Twin Otter akan mula beroperasi dengan logo dan liveri AirBorneo pada bulan hadapan.
“Syarikat akan menukar liveri pesawat yang selebihnya secara berperingkat dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya selepas menyampaikan ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Lee berkata, semua kakitangan MASwings sedia ada akan diserap ke dalam AirBorneo bagi memastikan kelangsungan operasi berjalan lancar.
“Kami mahu memastikan tiada gangguan, supaya sebaik sahaja pengambilalihan dibuat, perkhidmatan RAS boleh diteruskan seperti biasa,” katanya.
Mengulas perancangan jangka sederhana, beliau berkata AirBorneo menyasarkan untuk mengembangkan operasi ke laluan serantau termasuk Kuala Lumpur menjelang akhir tahun depan, tertakluk kepada ketersediaan pesawat dan kelulusan kawal selia.
Dalam ucapannya, Lee memaklumkan Sarawak mencatatkan 112,625 pergerakan pesawat dan 9.07 juta penumpang sehingga suku ketiga tahun ini, mewakili peningkatan 15% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, ketika ini Sarawak menerima 51 penerbangan antarabangsa mingguan dan purata 551 penerbangan domestik mingguan dari negeri lain.
“Konektiviti antarabangsa turut diperkukuh dengan pelancaran perkhidmatan piagam berjadual Haikou–Kuching oleh 9Air, manakala piagam Shenzhen–Kuching oleh Loong Air dijadual bermula tidak lama lagi,” katanya.
Beliau menambah, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan agensi berkaitan bagi mendapatkan lebih banyak laluan antarabangsa terus, sekali gus merangsang peluang ekonomi negeri.
Menjawab isu dibangkitkan oleh Joseph Chieng (GPS–Bukit Assek), Lee berkata AirBorneo akan memperkukuh hubungan Sibu dengan bandar utama di Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur secara berperingkat.
Menurut beliau, perancangan itu turut merangkumi potensi laluan antarabangsa, tertakluk kepada keadaan pasaran dan ketersediaan pesawat.
“AirBorneo juga komited untuk menawarkan tambang yang kompetitif berbanding syarikat penerbangan sedia ada bagi memastikan rakyat Sarawak menikmati perkhidmatan penerbangan yang mampu milik, boleh dipercayai dan lebih baik,” katanya.
Lee turut memaklumkan logo AirBorneo bertemakan “Wings of Unity” dengan slogan “Borneo for You” telah dilancarkan pada 21 Ogos, mencerminkan identiti Sarawak serta aspirasi memperkukuh kesalinghubungan di rantau ini.
Dengan 9.07 juta penumpang, 112,625 pergerakan pesawat, serta 51 penerbangan antarabangsa mingguan, kemunculan AirBorneo dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan sektor penerbangan dan pelancongan Sarawak, selain merancakkan aktiviti ekonomi serantau. - DagangNews.com








