AirAsia X kaut untung bersih RM27.8 juta pada 3QFY25, didorong persekitaran tambang positif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X kaut untung bersih RM27.8 juta pada 3QFY25, didorong persekitaran tambang positif

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 NovAirAsia X Berhad mencatatkan untung bersih RM27.8 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2025, berbanding RM121.6 juta pada 3Q24 yang didorong oleh pelbagai faktor.


Prestasi 3Q25 disokong oleh persekitaran tambang yang lebih baik, dan peningkatan hasil tambahan sebanyak 5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM280.6 juta, serta pengurusan kos yang cukup berdisiplin.


Ini termasuk pengurangan kos setiap kilometer tempat duduk tersedia (ASK) sebanyak 9% YoY kepada 12.68 sen, manakala perolehan syarikat sebelum ditolak perbelanjaan naik kepada RM803.5 juta.


"Situasi itu adalah baik meskipun jumlah penumpang susut 5% akibat penstrukturan semula rangkaian untuk fokus penerbangan jarak jauh menggunakan pesawat berbadan lebar," kata kenyataan AirAsia X.


Penumpang yang dibawa jelas kumpulan penerbangan tersebut, masih mengekalkan 'passenger load factor' sebanyak 82%, menunjukkan permintaan mantap terutamanya di pasaran utama China dan Jepun.


Ia juga melaporkan sekutunya, AirAsia X Thailand (TAAX), mencatatkan kerugian bersih RM128.4 juta dengan penurunan 22% dalam hasil kepada RM235.4 juta, dipengaruhi pemulihan pelancongan yang lemah.


Bagaimanapun jelasnya, TAAX dijangka mampu memulihkan prestasi ketika musim puncak tahun ini dengan pelancaran tiga destinasi baharu iaitu Sendai, Almaty, dan Riyadh pada tempoh suku keempat.


Dalam ulasannya, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail menekankan kejayaan mengekalkan PLF sebagai tanda kekukuhan pasaran teras dan keberkesanan strategi optimasi rangkaian.


Beliau menyatakan, pengaktifan semula pesawat ditunda ke 2026 kerana kelewatan isu penyelenggaraan dan Rolls-Royce, namun empat buah pesawat model A321LR baharu dijangka tiba pada tahun depan.


"Pemulihan pasaran China terus berkembang, manakala pengenalan penerbangan ke Tashkent dan Istanbul meningkatkan rangkaian, yang menyumbang 20% trafik penumpang dengan lebih 140 destinasi," katanya.


Benyamin turut menyorot pendapatan sampingan sebagai pemacu margin AirAsia X, hasil daripada produk yang berasaskan data, pelbagai inisiatif baharu lebih baik, dan peningkatan jualan bebas cukai.


Dengan pengurusan kos yang berdisiplin dan nilai ringgit lebih kukuh, syarikat tersebut kata beliau, sudah bersedia menghadapi suku tahun paling sibuk selepas ini. - DagangNews.com