AirAsia MOVE jalin kerjasama strategik bersama Air Macau, tawar tiket promosi serendah RM470 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia MOVE jalin kerjasama strategik bersama Air Macau, tawar tiket promosi serendah RM470

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Sept – Platform pelancongan digital, AirAsia MOVE terus memperluaskan rangkaian penerbangannya dengan menjalin kerjasama rasmi bersama-sama syarikat penerbangan Air Macau.


Menurut operator tersebut, usaha terbaharu berkenaan bagi memudahkan akses dalam kalangan pelanggan di Malaysia ke pelbagai destinasi popular Macau serta lokasi-lokasi lain di Tanah Besar China dan Asia.


Melalui kerjasama strategik ini, Air Macau kini menjadi rakan penerbangan rasmi MOVE, sekali gus menyokong aspirasi Macau untuk misi mencapai sasaran seramai 39 juta pelawat menjelang akhir 2025.


"Bagi meraikan inisiatif ini, kami menawarkan tiket promosi khas dengan harga serendah RM470 bagi laluan Kuala Lumpur–Macau melalui aplikasi AirAsia MOVE," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 


Promosi istimewa berkenaan tambahnya, adalah sah untuk sebarang tempahan penerbangan sehingga 12 September 2025 bagi tempoh perjalanan yang bermula dari 1 September 2025 hingga 7 Februari 2026.


Ketua Pegawai Eksekutif MOVE, Nadia Omer berkata, kerjasama ini membuka lebih banyak peluang kepada pengguna platform itu menikmati keunikan Macau sebagai destinasi pelancongan yang bertaraf dunia.


"Pulau bekas jajahan Portugal ini kaya dengan budaya, warisan dan hiburan. Kami komited memudahkan perjalanan lengkap menerusi platform MOVE, selaras usaha menyokong pelancongan serantau,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Besar Air Macau Kuala Lumpur, Howard Zhu menyifatkan kerjasama tersebut sebagai langkah penting menghubungkan ramai pelancong ASEAN melalui hanya satu aplikasi digunakan.


Sebagai insentif tambahan, pelawat yang menggunakan Air Macau juga boleh menikmati diskaun dan ganjaran eksklusif di Macau seperti baucar makanan, tawaran beli-belah, serta promosi istimewa.


"Ini termasuk di SKYPARK Macau Tower dengan pelanggan hanya perlu menunjukkan pas masuk penerbangan Air Macau dalam tempoh tujuh hari selepas ketibaan mereka," katanya menerusi kenyataan.


AirAsia MOVE kini bekerjasama dengan lebih 70 syarikat penerbangan global termasuk Royal Brunei Airlines, Etihad dan Air Mauritius, serta menyediakan capaian kepada 700 syarikat lain melalui pembekal sah.


Platform itu juga menawarkan pelbagai kemudahan perjalanan seperti tempahan hotel, pengangkutan lapangan terbang, insurans perjalanan, dan pembelian barangan bebas cukai secara dalam talian.


Perkembangan positif tersebut menjadikannya platform serba lengkap untuk semua keperluan pengembara pada masa kini selain pernah meraih beberapa anugerah antarabangsa. - DagangNews.com