KUALA LUMPUR 13 Nov - AirAsia terus melakar kejayaan apabila diumumkan meraih Anugerah Pengalaman Pengembaraan Masa Depan (FTE) pada Asia Pacific Airline Pioneer Award 2025 di Singapura.
Penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap usaha syarikat penerbangan tempatan tersebut dalam mentransformasikan pengalaman perjalanan setiap tetamunya terutama melalui inovasi digital.
Selain itu, ia membuktikan kecemerlangan operasi, dan kolaborasi pasukan Allstars dengan anugerah ini menegaskan peranan AirAsia sebagai perintis dalam penerbangan tambang rendah di benua Asia.
"Pengiktirafan tersebut menyorot pendekatan inovatif AirAsia sendiri dalam memudahkan perjalanan penumpang melalui penggunaan aplikasi AirAsia MOVE selama ini," katanya dalam satu kenyataan.
Kaedah secara digital tersebut jelasnya, membolehkan tetamu mengurus tempahan penerbangan, memilih tempat duduk, dan memantau maklumat penerbangan, selain inovasi seperti Auto Visa Check (AVC).
Tambahan pula katanya, syarikat berkenaan juga melaksanakan 'Open Baggage Belt' untuk memudahkan penyerahan bagasi kendiri, serta 'Self Move Flight' bagi penukaran penerbangan yang terkesan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Transformasi serta Ketua Pegawai Lapangan Terbang dan Pengalaman Pelanggan AirAsia, Kesavan Sivanandam berkata, syarikat kini memfokuskan kepada ekosistem digital.
"Ia semakin diperkasa dengan pelbagai teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI), dan turut meningkatkan kecekapan, komunikasi dan maklum balas bagi setiap proses perjalanan tetamu," katanya.
Beliau menambah, inovasi seperti sistem ‘Red App’ turut membolehkan pasukan Allstars tersebut beroperasi secara lebih pantas dan lancar, termasuk koordinasi dengan pihak berkepentingan luar.
Usaha itu jelas Kesavan, bagi memastikan pengalaman perjalanan tetamu mereka yang lebih efisien dan mudah diakses di mana-mana pada bila-bila masa diperlukan tanpa menghadapi sebarang masalah besar.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Future Travel Experience, Ryan Ghee berkata, AirAsia terus menjadi peneraju inovasi dalam industri penerbangan, daripada transformasi digital organisasi.
"Malahan penggunaan teknologi terkini untuk mempertingkat pengalaman pelanggan mereka membuktikan syarikat penerbangan tambang rendah ini begitu aktif dalam menerajui kecekapan," tambah beliau.
Sejak mula beroperasi, AirAsia menerbangkan hampir satu bilion tetamu dan menekankan usaha memperluas aksesibiliti, meningkatkan keterhubungan, serta menawarkan pengalaman lancar. - DagangNews.com








