AirAsia kembangkan operasi dengan penambahan 14 pesawat baharu pada 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia kembangkan operasi dengan penambahan 14 pesawat baharu pada 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mac — AirAsia Aviation Group berusaha mempercepatkan rancangan pengembangannya dengan menambah sebanyak 14 buah pesawat baharu kepada armadanya sepanjang 2025.
 

Ia meliputi empat pesawat Airbus manakala 10 lagi dari syarikat pemajakan yang bertujuan memenuhi peningkatan permintaan perjalanan di rantau ASEAN dan mengukuhkan status AirAsia sebagai operator tambang rendah teratas.
 

AirAsia Aviation ialah cabang penerbangan Capital A Berhad yang dipindahkan kepada syarikat kembarnya, AirAsia X Berhad sebagai langkah korporat untuk membantu mengeluarkan Capital A daripada status PN17 di Bursa Malaysia.
 

Bagaimanapun, Capital A menerusi makluman pada Januari lalu berkata, ia melanjutkan tarikh akhir untuk menyiapkan cadangan pelupusan AirAsia Aviation dan AirAsia kepada AirAsia X dari 25 Januari sehingga 24 Mac 2025.
 

Justeru penghantaran pesawat baharu AirAsia Aviation mencerminkan permintaan yang terus naik, dengan panduan dalaman AirAsia menyasarkan 70 juta penumpang untuk FY2025, mewakili peningkatan 11 peratus tahun ke tahun.
 

Sasaran itu dibandingkan dengan jumlah penumpang Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang menyasarkan pertumbuhan sebanyak 7.9 peratus di rantau Asia Pasifik pada 2025, didorong oleh pelbagai faktor.
 

Ini termasuk pemulihan ekonomi, tambang kompetitif dan kempen pelancongan diterajui kerajaan. Untuk mencapai sasaran, kumpulan itu mengembangkan kapasiti, meningkatkan ketersambungan, dan mengoptimumkan rangkaian untuk kecekapan.
 

Keutamaan segera AirAsia adalah untuk mengukuhkan bahagian pasaran domestik dan menambah baik ketersambungan merentasi semua pasaran operasi, manakala bagi jangka sederhana, ia meneroka destinasi global utama baharu.
 

Penguasaan AirAsia di ASEAN meletakkan syarikat itu sebagai penyambung utama kepada pasaran antarabangsa utama, membolehkan akses lancar ke destinasi di seluruh Asia Pasifik, Asia Tengah, Timur Tengah dan seterusnya.
 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation, Bo Lingam menegaskan semula keyakinan syarikat penerbangan itu terhadap trajektori, dengan menyatakan: “Kami telah memulakan tahun 2025 dengan begitu baik.
 

"Sehubungan itu, kami cukup teruja kerana pertumbuhan masa depan AirAsia terjamin sepenuhnya, dengan 56 pesawat seterusnya telah dibiayai. Ini memberikan kami landasan yang tidak dapat ditandingi untuk pengembangan.
 

"Malah membolehkan kami membuat skala dengan kepastian mutlak sambil menyampaikan pengalaman perjalanan yang paling berpatutan dan boleh dipercayai. Kami mempercepatkan ke arah kadar pertumbuhan prapandemik lebih cepat.
 

"Pengembangan awal ini daripada yang dijangkakan, adalah bukti keyakinan kami terhadap kekuatan pasaran. Permintaan naik, faktor beban dan hasil kekal kukuh, dan kami beri tumpuan pengoptimuman laluan, dengan kecekapan kos," katanya dalam satu kenyataan.
 

Menerusi amalan korporat penerbangan yang akan berlaku, AirAsia ujar kenyataan itu, bersedia untuk menyatukan rangkaiannya dengan menyepadukan kecekapan laluan jarak dekatnya dengan capaian operasi jarak jauhnya.
 

Selain itu, Airbus model A321XLR dan A321LR akan mengubah 'permainan' dalam menetapkan semula sambungan serantau dan jarak jauh, manakala armada A330 dioptimumkan untuk laluan jarak jauh dan menyokong pasaran antara benua baharu.
 

Pengembangan armada yang dirancang secara strategik ini tambahnya, akan membolehkan syarikat penerbangan itu mengurangkan kos sambil meningkatkan kecekapan bahan api, memastikan model pertumbuhan yang mampan dan kos efektif.
 

Penghantaran pesawat akan menyokong laluan permintaan tinggi, memudahkan kemasukan pasaran baharu, meningkatkan kapasiti operasi keseluruhan serta mengukuhkan peranan AirAsia sebagai syarikat tambang rendah terkemuka di rantau ini. - DagangNews.com