KUALA LUMPUR 5 Mac – AirAsia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam kelestarian penerbangan dengan menduduki antara lima teratas syarikat penerbangan dalam penarafan terkini ESG FTSE Russell.
Pencapaian ini membuktikan kejayaan strategi Kumpulan dalam pengurusan risiko iklim, tadbir urus yang telus dan kecekapan operasi dalam teras perniagaannya.
Dalam penilaian ESG FTSE Russell, syarikat penerbangan AirAsia menunjukkan prestasi kukuh di bursa Malaysia dan Thailand bagi pencapaian tahun 2024.
Prestasi syarikat penerbangan jarak dekat AirAsia dimasukkan dalam pendedahan Capital A dan dinilai oleh Bursa Malaysia, manakala AirAsia X dan Thai AirAsia dinilai oleh Bursa Malaysia dan Bursa Saham Thailand.
Capital A mencatatkan lonjakan skor ketara, meningkat kepada 4.0 daripada 5.0 berbanding 3.5 pada tahun sebelumnya. AirAsia X pula memperoleh skor 3.8, manakala rakan kongsi Thai AirAsia mencatatkan 3.9 pada tahun kedua penilaiannya.
Skor ini menempatkan AirAsia antara syarikat teratas di bursa masing-masing dan turut meletakkan Kumpulan sebagai peneraju apabila dibandingkan dengan rakan sejawat global yang dinilai berdasarkan standard FTSE Russell yang sama.
AirAsia juga membuat perbandingan berdasarkan Penilaian Kelestarian Korporat Global S&P (CSA) bagi syarikat tersenarai awam dengan permodalan pasaran melebihi AS$1 bilion.
Dalam penilaian terkini berdasarkan prestasi 2024, AirAsia mencapai skor 45%, melebihi purata industri penerbangan global iaitu 37%.
Kelestarian Bukan Sekadar Penarafan: Pendekatan Menyeluruh AirAsia Dalam Operasi Harian
Pada 2025, AirAsia turut menerima dua pengiktirafan antarabangsa. Platform analisis penerbangan bebas 42kft.com menganugerahkan skor sempurna 10 dalam kesemua sembilan kategori penilaian.
Selain itu, AirlineRatings.com menamakan AirAsia antara Tiga Penerbangan Kos Rendah Teratas dalam Anugerah Kelestarian sulung mereka. Kedua-dua pengiktirafan dinilai secara bebas oleh pakar industri penerbangan.
Ketua Pegawai Kelestarian AirAsia, Yap Mun Ching berkata keputusan ini mencerminkan disiplin dan kerja keras pasukan dalam aspek kelestarian dalam operasi harian.
“Selama bertahun-tahun, kami telah membina asas kukuh untuk kelestarian syarikat, tetapi usaha kami lebih daripada sekadar mendapatkan penarafan ESG. Pasukan kami bekerja keras untuk menjadikan kelestarian sebahagian daripada operasi harian, termasuk meningkatkan kecekapan bahan api dan menggunakan teknologi rendah karbon yang dapat mengurangkan kos dan pelepasan karbon.
“Pada masa sama, aspek teknikal kelestarian penerbangan agak sukar difahami. Oleh itu, kami bekerjasama rapat dengan pengawal selia, rakan industri, dan penumpang supaya strategi pengurangan karbon kami jelas dan memberi kesan positif jangka panjang kepada perniagaan dan serantau,” tambahnya.
Inisiatif lain termasuk penglibatan aktif AirAsia dalam menguruskan risiko peraturan daripada perubahan iklim melalui jawatankuasa ICAO dan mengetuai Pasukan Tugas CORSIA Malaysia.
AirAsia juga meningkatkan literasi karbon dan ketelusan untuk penumpang melalui AirAsia MOVE, yang memaparkan pelepasan karbon per tempat duduk semasa carian penerbangan berdasarkan data operasi sebenar.
Selain menumpukan kepada kelestarian alam sekitar, AirAsia juga memajukan aspek sosial dengan menyokong pembangunan kerjaya wanita melalui penandatanganan Prinsip Pemberdayaan Wanita PBB dan UN Global Compact.
Kumpulan ini turut menjadi ahli perintis WEPs Corporate Action Lab, menyokong inisiatif tempat kerja mesra keluarga yang selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI. - DagangNews.com








