KUALA LUMPUR 7 Mei – Tempahan 150 pesawat A220 oleh AirAsia Bhd dianggarkan bernilai sekitar AS$19 bilion (RM89.7 bilion) dan menjadi tempahan terbesar dunia bagi model pesawat berkenaan setakat ini.
Penasihat AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata pihaknya menjangka penghantaran pertama pesawat A220 itu akan diterima selewat-lewatnya pada suku pertama 2028.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata perolehan pesawat A220 itu akan membuka peluang kepada AirAsia untuk memasuki pasaran dan laluan baharu yang sebelum ini tidak ekonomik menggunakan pesawat sedia ada.
“Ada 160 tempat duduk pada pesawat A220 yang akan membolehkan peningkatan margin keuntungan syarikat antara dua hingga tiga mata peratusan selain memperkukuh kecekapan rangkaian penerbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif Airbus Commercial Aircraft, Lars Wagner yang disiarkan secara langsung dari Mirabel, Quebec, Kanada.
Perjanjian tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri Kanada, Mark Carney.
Fernandes turut menjelaskan bahawa keupayaan pesawat itu untuk terbang sehingga tujuh jam menjadikannya sangat sesuai bagi pasaran Asia yang mempunyai permintaan tinggi terhadap laluan jarak sederhana.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan menambah lagi 150 pesawat sekiranya pengeluar membangunkan versi lebih besar dikenali sebagai A220-500 yang dijangka mampu memuatkan sekitar 185 penumpang.
Katanya, jika rancangan itu direalisasikan, nilai keseluruhan perjanjian boleh meningkat sehingga AS$38 bilion, menjadikan ia antara pelaburan armada terbesar dalam sejarah AirAsia.
Fernandes menegaskan bahawa langkah menambah pesawat baharu ini juga adalah sebahagian daripada strategi menggantikan pesawat A320 sedia ada yang semakin menghampiri penghujung kitaran operasi.

Beliau berkata, walaupun pembelian dilakukan ketika ketidaktentuan ekonomi global, ia merupakan pendekatan berani yang konsisten dengan falsafah pertumbuhan AirAsia sejak penubuhannya.
Kerjasama jangka panjang antara AirAsia dan Airbus turut disifatkan sebagai asas penting kejayaan syarikat itu dalam membina rangkaian penerbangan kos rendah terbesar di rantau ini.
Sementara itu, AirAsia dalam kenyataan berasingan berkata tempahan bersejarah itu dilihat sebagai sebahagian daripada perubahan besar strategi armada syarikat yang kini mahu memberi tumpuan kepada operasi pesawat badan sempit berkecekapan tinggi bagi mengurangkan kos operasi dan meningkatkan keuntungan.
Menerusi strategi baharu itu, AirAsia akan menggunakan pesawat A220-300 untuk memperluaskan rangkaian penerbangan ke pasaran kecil berpotensi tinggi serta meningkatkan kekerapan penerbangan di laluan utama sedia ada.
Pesawat A220 dikatakan mampu mencapai keuntungan dengan jumlah penumpang lebih rendah berbanding pesawat badan sempit yang lebih besar, selain menawarkan penggunaan bahan api kira-kira 20% lebih cekap berbanding A320ceo.
AirAsia juga merancang menggunakan varian masa depan A220-500 sebagai pengganti armada A320 yang semakin berusia, dengan kapasiti tempat duduk melebihi 180 penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Bo Lingam berkata, pesawat baharu itu akan menjadi pemangkin utama kepada usaha syarikat membina rangkaian syarikat penerbangan tambang rendah global pertama di dunia.
Menurut beliau, jarak penerbangan sehingga tujuh jam yang dimiliki A220 membolehkan AirAsia membuka lebih banyak laluan baharu serta meningkatkan fleksibiliti jadual penerbangan menerusi kekerapan penerbangan lebih tinggi.
Ia bakal digunakan bagi laluan di seluruh ASEAN dan Asia Pasifik, manakala pesawat A320 dan A321 akan dialihkan ke laluan jarak sederhana serta A330 bagi laluan jarak jauh ke Eropah, Australia dan Amerika Utara. - DagangNews.com








