AIA lantik Heng Zee Wang sebagai CEO baharu berkuat kuasa 30 Oktober 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AIA lantik Heng Zee Wang sebagai CEO baharu berkuat kuasa 30 Oktober 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 NovAIA Berhad melantik Heng Zee Wang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 30 Oktober 2025, untuk menggantikan Ben Ng yang berpindah ke luar negara.


Menurut syarikat tersebut, penyandang sebelumnya itu bakal memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Risiko Kumpulan AIA di Hong Kong mulai 1 Januari 2026, tertakluk kepada kelulusan pengawal selia.


Zee Wang pula melapor terus kepada Ketua Eksekutif Serantau Kumpulan, Tan Hak Leh, dengan peranan memacu pertumbuhan serta transformasi perniagaan insurans hayat dan entiti AIA di Malaysia.


Gabungan kepakaran CEO baharu tersebut dalam bidang aktuari, pemasaran, penjagaan kesihatan dan pengedaran menjadikannya calon paling sesuai untuk membawa AIA ke fasa pertumbuhan seterusnya.


“Kepimpinan dan rekod pencapaian beliau membuktikan kemampuannya bagi mengukuhkan kedudukan AIA sebagai peneraju pasaran insurans di Malaysia,” kata Hak Leh dalam satu kenyataan hari ini.


Jelasnya, Zee Wang yang mula menyertai AIA pada 2012, memainkan peranan penting dalam tugas pengambilalihan dan penyepaduan ING Malaysia, selain memegang beberapa jawatan kanan syarikat.


Antaranya kata kenyataan berkenaan, termasuk sebagai Timbalan Pengurus Besar Kewangan dan Aktuari (2014), Ketua Pegawai Pemasaran (2018) serta Ketua Pegawai Penjagaan Kesihatan (2024).


Di bawah kepimpinannya, AIA memperkenalkan inisiatif Total Health Solutions dan memperkukuh jenama melalui program AIA Vitality, selain memacu strategi penjagaan kesihatan bersepadu jangka panjang.


Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri insurans di Malaysia, Singapura, Britain, Hong Kong dan Korea Selatan, Zee Wang merupakan Fellow Institute and Faculty of Actuaries, United Kingdom.


Beliau juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Aktuari di University of Kent, Canterbury, Britain. - DagangNews.com