Ahmad Fuaad terajui UDA sebagai CEO baharu berkuat kuasa 1 April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ahmad Fuaad terajui UDA sebagai CEO baharu berkuat kuasa 1 April 2026

Datuk Sri Ahmad Fuaad Kenali
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 April – UDA Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Sri Ahmad Fuaad Kenali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa hari ini.

 

Pelantikan tersebut bertujuan memperkukuh kepimpinan UDA dan mempercepat pelaksanaan inisiatif strategik yang telah dirancang oleh syarikat, kata agensi itu dalam satu kenyataan.

 

UDA memaklumkan, Ahmad Fuaad membawa pengalaman luas merentasi pelbagai sektor termasuk hartanah, automotif, utiliti, media, perkhidmatan kewangan serta perundingan profesional.

 

“Beliau mempunyai kepakaran dalam strategi korporat, transformasi perniagaan, pengurusan kewangan dan pemulihan organisasi berskala besar. 

 

“Kepimpinan beliau dijangka mampu memacu pertumbuhan mampan serta meningkatkan prestasi syarikat secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata pelantikan Ahmad Fuaad diterima baik oleh ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan serta seluruh warga UDA. 

 

“Kami yakin pengalaman luas CEO baharu akan membantu UDA mencapai matlamat utama penubuhannya,” katanya.

 

Sebelum ini, Ahmad Fuaad pernah memegang jawatan CEO di beberapa syarikat terkemuka termasuk Kumpulan UMW Holdings Berhad, Malakoff Corporation Berhad,  PROTON Holdings Berhad serta Ketua Pegawai Kewangan Astro Malaysia Holdings Berhad.

 

Beliau juga pernah menjadi rakan kongsi di Ernst & Young dan memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan di DRB-HICOM Berhad dan Petaling Garden Berhad. 

 

Rekod kepimpinan ini menunjukkan kemampuan beliau dalam menguruskan organisasi besar dan kompleks.

 

Dalam pada itu, Ahmad Fuaad ketika mengulas mengenai pelantikan itu berkata beliau berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui UDA pada fasa penting ini.

 

Beliau komited memperkukuh asas perniagaan dan mempercepat pelaksanaan inisiatif transformasi.

 

“Dengan sokongan Lembaga Pengarah dan seluruh warga UDA, syarikat akan terus memacu pertumbuhan dan merealisasikan aspirasi jangka panjangnya. Fokus utama adalah mencipta nilai mampan bagi semua pemegang taruh,” katanya.

 

UDA Holdings Berhad ditubuhkan pada 1971 dan merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Syarikat ini memainkan peranan penting dalam pembangunan hartanah, pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera, serta pembentukan bandar-bandar utama di Malaysia.

 

Empat perniagaan teras UDA merangkumi pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta (UDA PIM), hospitaliti (UDA Hospitaliti) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus). Aspirasi syarikat adalah “Memenuhi Impian”, dengan menekankan nilai mampan dan kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang. - DagangNews.com