Agmo dilantik sebagai pengedar eksklusif Glem.AI di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agmo dilantik sebagai pengedar eksklusif Glem.AI di Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Sept – Penyedia rumusan digital dan pembangunan aplikasi tempatan, Agmo Holdings Berhad, melalui anak syarikatnya Agmo Studio Sdn Bhd dilantik sebagai pengedar eksklusif dan peruncit sah bagi platform kecerdasan buatan (AI), Glem.AI di Malaysia.


Glem.AI dibangunkan oleh syarikat tempatan InfinitiLab Sdn Bhd, dan merupakan platform AI penuh yang direka khusus untuk memperkasakan perusahaan menerusi automasi aliran kerja, integrasi sistem serta pengendalian agen pintar merentasi pelbagai persekitaran data.


Platform ini disokong oleh Model Orkestrasi Multi-Model, membolehkan pelaksanaan AI berdaulat, dengan memberi fleksibiliti kepada syarikat untuk melaksanakan model AI pilihan mereka secara premise atau di awan pilihan, termasuk melalui model sumber terbuka.


"Di bawah kerjasama ini, InfinitiLab akan terus kekal sebagai pemaju utama teknologi Glem.AI dengan fokus kepada penyelidikan dan pembangunan berterusan," kata Agmo dalam satu kenyataan.


Sementara itu, Agmo Studio akan bertanggungjawab dalam pembangunan bersama agen AI, termasuk potensi integrasi model bahasa besar, selain memacu aspek penjualan, pemasaran, penglibatan pelanggan dan pembangunan perniagaan.


Tambahnya, selain pelaburan berterusan kumpulan tersebut dalam inovasi AI, pengedaran Glem.AI meluaskan lagi portfolio Agmo dan mempercepatkan masa ke pasaran. 


"Ini membolehkan pelanggan perusahaan menggunakan platform yang telah terbukti, sambil kami terus membangunkan rumusan yang lebih bernilai untuk jangka panjang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Agmo, Tan Aik Keong.


Kerjasama itu katanya, hadir ketika landskap AI tempatan sedang berkembang pesat, termasuk pelancaran pemprosesan terkini pertama negara, MARS1000, yang mencerminkan peningkatan inovasi teknologi tinggi dalam negara.


Aik Keong berkata, Glem.AI melengkapkan portfolio Agmo dengan menyasarkan keperluan perusahaan besar, manakala pembangunan dalaman platform AI Agmo terus disasarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


“Kedua-dua penawaran ini membolehkan kami menyasarkan pasaran yang lebih luas dan menyediakan rangkaian rumusan AI yang menyeluruh untuk mempercepat transformasi digital merentas pelbagai segmen perniagaan,” katanya.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif InfinitiLab, Ryan Tay Yi Wen menyatakan bahawa keutamaan syarikat tersebut adalah untuk mendorong sempadan aplikasi AI dalam perniagaan.


Tambah beliau, Glem.AI dibina untuk mengendalikan persekitaran perusahaan yang kompleks, termasuk automasi kerja dan integrasi pelbagai sistem. 


"Dengan kerjasama Agmo, kami boleh memastikan teknologi ini dilaksanakan secara meluas dan memberi hasil ketara kepada organisasi,” katanya.


Beliau menambah bahawa tumpuan Agmo kepada segmen PKS dan hala tuju InfinitiLab yang berfokuskan perusahaan akan memastikan akses menyeluruh kepada AI untuk pelbagai jenis perniagaan di Malaysia.


Agmo turut menyifatkan kerjasama itu sebagai satu langkah penting untuk memperkukuh portfolio rumusan digitalnya serta menyokong aspirasi negara dalam mempercepat penggunaan AI, sejajar dengan visi untuk membina ekonomi berasaskan pengetahuan yang dipacu oleh teknologi termaju.


Langkah ini juga dilihat bakal menjana nilai jangka panjang kepada pemegang saham, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi teknologi digital di rantau ini. - DagangNews.com