KUALA LUMPUR 31 Dis — Affin Hwang Investment Bank memulakan liputan ke atas AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) awal RM1.90 sesaham.
Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut memberi amaran isu kadar dasar semalaman (OPR) yang tinggi berpotensi menjejaskan prestasi, khususnya kos pembiayaan dan momentum pemerolehan aset.
Walaupun berdepan risiko itu, ia menilai kumpulan amanah pelaburan hartanah ini sebagai antara memiliki prospek pertumbuhan berskala, yang disokong oleh penaja kukuh, AME Elite Consortium Berhad.
"Ia ada saluran pembangunan bernilai RM4.7 bilion, menyediakan keterlihatan jelas bagi pemerolehan aset dalam jangka sederhana, dan selari sasaran tahunan sekitar RM100 juta," tambah Affin Hwang.
Firma tersebut berkata, hasil perolehan AME REIT dijangka terus dipacu oleh pertumbuhan pendapatan bersih hartanah (NPI) daripada sejumlah tujuh aset yang diambil alih sepanjang FY25 hingga FY26.
Hartanah itu jelasnya, dianggarkan menyumbang kira-kira 22% kepada NPI tahunan, selain potensi kenaikan penyewaan daripada 23.8% kawasan boleh sewa bersih yang tamat antara FY26 hingga FY28.
Dua faktor berkenaan kata Affin Hwang, dijangka menyokong pertumbuhan selanjutnya, dan pada masa sama menegaskan yang kumpulan itu mempunyai pendedahan penuh kepada pinjaman kadar terapung.
"Situasi ini membolehkan AME REIT mendapat manfaat sekiranya kadar faedah mula menurun, sekali gus membantu dalam mengekang kos pembiayaan di tengah-tengah program pemerolehan aktif," ujarnya.
Secara keseluruhan tambah firma tersebut lagi, keuntungan bersih teras kumpulan ini diunjurkan boleh meningkat antara 4% hingga 16% tahun ke tahun (YoY) kepada RM40.1 juta hingga RM44.2 juta.
Sementara agihan seunit (DPU) dijangka meningkat kepada 8.6 sen hingga 9.2 sen bagi tempoh FY26 hingga FY28, bersamaan kadar pertumbuhan purata terkumpul (CAGR) selama 10 tahun sekitar 4.2%.
Di samping itu, Affin Hwang menjangka TP AME REIT disokong oleh portfolio aset industri gred-A yang berdaya tahan, saluran penaja yang kukuh serta potensi peningkatan hasil. - DagangNews.com








