KUALA LUMPUR 5 Mei - Perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1) dijangka kembali beroperasi 24 jam menjelang akhir Mei ini, selepas semua ujian teknikal selesai dilaksanakan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menyiapkan semua ujian berkaitan, dengan laporan penuh kini sedang disediakan untuk pengesahan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).
“Selepas disahkan oleh Apad, kita menjangkakan perkhidmatan Aerotrain akan kembali beroperasi sepenuhnya 24 jam menjelang akhir bulan ini.
“Ketika ini ia masih beroperasi, namun terdapat beberapa jam pada waktu malam diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan landasan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran MyKLIA TravelCard dan MyPutrajaya Travel Card, hari ini.
Dihenti Selama Dua Tahun
Perkhidmatan Aerotrain sebelum ini dihentikan selama dua tahun sebelum disambung semula pada Julai 2025, namun terus berdepan beberapa isu teknikal.
Bagi menangani masalah tersebut, MAHB telah melaksanakan pelan tindakan menyeluruh termasuk memperkukuh penyelenggaraan dan pemantauan sistem.
Sebagai langkah sementara, perkhidmatan bas ulang-alik penuh disediakan pada waktu luar puncak antara jam 11 malam hingga 5 pagi bagi membolehkan pemeriksaan serta kerja pembaikan dilakukan.
Selain itu, perkhidmatan bas turut beroperasi serentak dengan Aerotrain dari jam 5 pagi hingga 11 malam bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang.
Sejak kembali beroperasi pada Julai tahun lalu, Aerotrain telah membawa lebih 6.55 juta penumpang dengan hampir 95,000 perjalanan direkodkan. - DagangNews.com








