Aeon raih manfaat kos operasi rendah, pengurusan pusat beli-belah stabil pada 2HFY25 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aeon raih manfaat kos operasi rendah, pengurusan pusat beli-belah stabil pada 2HFY25 - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 OktAeon Co (M) Berhad dijangka mencatat prestasi lebih baik dalam separuh kedua tahun kewangan 2025, disokong faktor penjimatan kos operasi, menurut Maybank Investment Bank


Firma penyelidikan tersebut menambah, kumpulan itu juga diramal meraih manfaat segmen perkhidmatan pengurusan hartanah (PMS) daripada pusat beli-belah pada tempoh enam bulan terakhir tahun ini.


Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah kepada RM2.00, berdasarkan 17 kali unjuran perolehan tahun kewangan 2026, yang selari purata sejarah syarikat.


“Meskipun perbelanjaan pengguna masih lemah dalam jangka masa terdekat, Aeon dijangka mampu mengimbangi cabaran itu antaranya melalui penjimatan kos elektrik," kata Maybank IB dalam notanya.


Selain itu jelas firma berkenaan, kelewatan impak perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas pendapatan sewa, serta kadar semakan sewa yang kekal stabil turut membantu kumpulan tersebut.


Tambahnya, kebimbangan awal terhadap tekanan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dalam segmen PMS kini dilihat semakin reda berikutan semakan tarif elektrik pada 1 Julai 2025.


Keadaan tersebut kata Maybank IB, memberi penjimatan sekitar 10% setahun, manakala kelewatan impak pelaksanaan SST 8% terhadap pendapatan sewaan susulan penangguhan enam bulan diberikan kerajaan.


"Justeru kadar semakan sewa di pusat beli-belah untuk segmen pengurusan PMS adalah kekal sekitar 7% hingga 8% bagi tahun kewangan 2025 berbanding sebanyak 8% pada FY24," kata firma berkenaan.


Sebagai rekod jelas firma itu, sebanyak 14 daripada sejumlah 28 buah kompleks beli-belah Aeon adalah milik pihak ketiga dan tertakluk kepada pelaksanaan SST oleh tuan tanah masing-masing.


Sementara itu, projek pengubahsuaian Aeon Bandaraya Melaka dan Aeon Shah Alam yang dijangka siap menjelang akhir Oktober 2025, adalah tepat pada masanya untuk menarik lebih ramai pengunjung.


Maybank IB berkata, ia kebetulan bersempena musim cuti penggal akhir persekolahan dan perayaan Krismas, manakala projek pengembangan Aeon Seremban 2 dan Aeon Kinta City dijangka siap pada 2028.


"Pembukaan rasmi Aeon KL Midtown yang terbaharu pula namun mungkin ditunda ke separuh kedua 2026 daripada rancangan awal pada 1H26 kerana kelewatan penyerahan premis oleh pemaju," kata firma itu.


Buat masa ini jelasnya, unjuran pendapatan keseluruhan Aeon masih belum mengambil kira sumbangan daripada KL Midtown dan ia menjangkakan segmen runcit Aeon kekal lemah dalam tempoh 3QFY25.


Situasi itu kata Maybank IB, berikutan ketiadaan perayaan utama dan kesan pengalihan perbelanjaan isi rumah ke pasar raya lain yang menerima pembayaran melalui kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA).


Insentif bantuan kerajaan yang diperkenalkan mulai 31 Ogos 2025 itu kata firma penyelidikan tersebut, belum boleh digunakan di semua rangkaian pasar raya Aeon kerana ketiadaan terminal SARA.


"Bagaimanapun, jualan runcit dijangka pulih dalam 4QFY25, apabila pengguna kembali kepada rutin pembelian hujung tahun serta berbelanja sempena musim cuti," katanya. - DagangNews.com