Aeon Credit terbit sukuk wakalah RM600 juta, pacu penstrukturan semula hutang syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aeon Credit terbit sukuk wakalah RM600 juta, pacu penstrukturan semula hutang syarikat

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 SeptAeon Credit Service (M) Berhad terus mengukuhkan strategi pembiayaan dengan kumpulan tersebut menyelesaikan terbitan ke-10 sukuk wakalah yang bernilai RM600 juta.


Instrumen kewangan Islam tersebut merupakan sebahagian daripada program sukuk wakalah yang baru sahaja dinaikkan saiznya kepada RM5 bilion daripada hanya sebanyak RM2 bilion sebelum ini.


Sukuk berstatus kanan ini diterbitkan pada 18 September 2025 dengan tempoh matang selama tujuh tahun, dan dimanfaatkan bagi menyokong pelbagai keperluan pembiayaan syarikat menepati prinsip Syariah.


"Hasil terbitan sukuk ini bakal digunakan antaranya untuk membiayai permohonan pelanggan selari dengan aktiviti pembiayaan pengguna Aeon Credit beragama Islam," kata syarikat itu dalam satu kenyataannya.


Di samping itu, sukuk ini membiayai semula pinjaman sedia ada dan sukuk terdahulu yang matang atau hampir matang serta menyokong pertumbuhan perniagaan pembiayaan secara standard patuh Syariah.


Langkah ini sejajar dengan komitmen syarikat terus beroperasi dalam kerangka kewangan Islam dan memastikan setiap penggunaan dana menepati prinsip wakalah dan patuh Syariah dengan sepenuhnya.


Aeon Credit turut memaklumkan peningkatan saiz program sukuk wakalah kepada RM5 bilion memberikan fleksibiliti yang lebih besar dalam merancang strategi kewangan jangka sederhana dan panjang.


"Ini terutama bagi memenuhi permintaan pembiayaan yang semakin meningkat oleh pengguna domestik dan program sukuk ini dijangka menyokong usaha syarikat menstabilkan kos pembiayaan," katanya.


Pada masa sama, ia mempelbagaikan sumber modal dan mengekalkan kecairan operasi secara mampan, di samping mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan kukuh kewangan Aeon Credit sendiri.


Sukuk wakalah merupakan instrumen pembiayaan Islam dengan pelabur melantik penerbit sebagai wakil pengurus dana untuk melabur sejumlah dana dalam pelbagai aktiviti yang dibenarkan oleh Syariah.


Dalam konteks ketika ini, Aeon Credit bertindak sebagai wakil untuk mengurus dan melabur hasil sukuk kepada aktiviti pembiayaan pelanggan serta penstrukturan semula hutang semasa syarikat.


"Dengan kedudukan kukuh pasaran Aeon Credit dalam sektor pembiayaan pengguna Muslim dan tumpuan terhadap kepatuhan Syariah, terbitan sukuk ini dilihat sebagai langkah strategik," kata syarikat itu.


Tambah kumpulan berkenaan, penerbitan sukuk tersebut juga menyokong pertumbuhan perniagaan jangka panjang secara beretika dan lebih berdaya tahan. - DagangNews.com