Aeon Credit terbit Sukuk Kanan RM100 juta, di bawah program Wakalah RM5 bilion dinaik taraf | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aeon Credit terbit Sukuk Kanan RM100 juta, di bawah program Wakalah RM5 bilion dinaik taraf

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 FebAeon Credit Service (M) Berhad meneruskan strategi pengukuhan sumber pembiayaan kumpulan tersebut apabila menerbitkan Sukuk Kanan yang berjumlah RM100 juta.


Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, penerbitan baharu itu di bawah Program Sukuk Wakalah bernilai RM5 bilion yang sudah dinaik taraf daripada hanya RM2 bilion sebelum ini.


Syarikat pembiayaan pengguna tersebut memaklumkan, terbitan kali ke-12 itu turut mempunyai tempoh matang selama lima tahun dari tarikh penerbitan berkenaan, iaitu bermula 20 Februari 2026.


"Hasil daripada terbitan Sukuk Kanan itu akan digunakan bagi membiayai pengeluaran pembiayaan kepada pelanggan dalam operasi biasa perniagaan yang berteraskan prinsip Syariah," jelasnya.


Selain itu, ia akan membiayai semula pinjaman sedia ada atau mana-mana sukuk diterbitkan syarikat, dengan kesemua penggunaan dana mematuhi keperluan Syariah di bawah Program Sukuk Wakalah.


Sejak pelaksanaan program berkenaan pada 10 Februari 2020, Aeon Credit melaksanakan beberapa siri terbitan melibatkan Sukuk Kanan dan Sukuk Subordinat, termasuk terbitan-terbitan utama.


Penerbitan tersebut jelasnya, kali terakhir melibatkan sukuk ke-11 sebelum itu pada 16 Disember 2025 dengan saiz amaun mencecah setiap satu antara RM200 juta sehingga RM600 juta.


"Langkah berterusan ini mencerminkan strategi syarikat dalam mempelbagaikan sumber pendanaan jangka sederhana dan panjang bagi menyokong pertumbuhan portfolio pembiayaan pengguna," katanya.


Aeon Credit menambah, usaha pembiayaan secara Syariah itu turut memastikan kedudukan kecairan kekal kukuh dalam persekitaran kadar keuntungan yang mencabar. - DagangNews.com