AEON Credit suntik RM125 juta ke dalam AEON Bank bagi perkukuh modal, pacu pertumbuhan digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AEON Credit suntik RM125 juta ke dalam AEON Bank bagi perkukuh modal, pacu pertumbuhan digital

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 7 Nov AEON Credit Service (M) Bhd akan menyuntik RM125 juta ke dalam AEON Bank (M) Bhd, bank digital milik bersama 50%, bagi mengukuhkan asas modal serta menyokong pertumbuhan masa depan institusi kewangan tersebut.

 


Menurut AEON Credit dalam kenyataan hari ini, suntikan modal itu akan mengekalkan pegangan 50% ekuitinya dalam AEON Bank, sejajar dengan langkah rakan usaha sama, AEON Financial Service Co Ltd (AFS) dari Jepun yang turut akan melaksanakan langganan tambahan yang sama nilai bagi mengekalkan nisbah pegangan sedia ada.

 


“Langganan tambahan ini akan memastikan kedudukan AEON Credit dalam AEON Bank kekal seimbang, sekali gus memperkukuh keupayaan bank digital itu untuk berkembang secara mampan dan memenuhi keperluan modal minimum seperti ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Selepas pelaksanaan suntikan modal, jumlah saham terbitan AEON Bank akan meningkat daripada 550 juta kepada 800 juta unit, dengan pegangan AEON Credit bertambah daripada 275 juta kepada 400 juta saham, hasil langganan 125 juta saham baharu pada harga RM1 sesaham.

 


Secara keseluruhan, suntikan modal oleh kedua-dua pihak berjumlah RM250 juta.

 


AEON Credit menjelaskan, suntikan tunai itu akan dibiayai sepenuhnya melalui sumber dalaman dan tidak akan memberi kesan material terhadap aset bersih, nisbah hutang (gearing) atau pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FY2026).

 


Terdahulu, setakat akhir Ogos lalu, AEON Credit melaporkan, jumlah pembiayaan keseluruhan sebanyak RM14.29 bilion, dengan nisbah keuntungan bersih masing-masing 9.7% dan 9.9% bagi dua tahun kewangan sebelumnya.

 

Syarikat itu menambah, langkah tersebut bertujuan menyokong rancangan pengembangan AEON Bank, memperkukuh kedudukan kewangan serta memastikan pematuhan berterusan terhadap keperluan modal minimum Bank Negara Malaysia (BNM).

 


“Langganan yang dicadangkan ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham tetapi tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia,” katanya lagi.

 


Latihan suntikan modal itu dijangka disiapkan menjelang Januari 2026, tertakluk kepada kelulusan BNM.

 


Dalam dagangan Khamis, saham AEON Credit meningkat dua sen atau 0.4% kepada RM5.28, menjadikan nilai pasaran syarikat sebanyak RM2.7 bilion. 

 

Setakat ini, saham tersebut telah menurun 15.7% sejak awal tahun. - DagangNews.com