KUALA LUMPUR 30 Sept – Aeon Credit Service (M) Berhad mencatat keputusan kewangan separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26) yang sekali lagi mengecewakan jangkaan, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi itu dipengaruhi oleh peruntukan rosot nilai yang lebih tinggi daripada diunjurkan, namun tanda-tanda awal pemulihan sebenarnya mula kelihatan.
Justeru berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM7.60 sesaham, dengan menilai potensi kenaikan sebanyak 42% serta anggaran hasil dividen sekitar 6% bagi FY26.
"Meskipun keputusan 2QFY26 adalah lemah, peningkatan dalam kadar kutipan bermula Ogos 2025 memberi harapan terhadap pemulihan kos kredit pada separuh kedua tahun kewangan pula," kata RHB Research.
Bagi suku kedua FY26, Aeon Credit merekodkan keuntungan bersih RM72.2 juta, menjadikan jumlah pada 1HFY26 sebanyak RM149.8 juta, iaitu sekitar 41% daripada unjuran tahunan firma itu dan pasaran.
Kos kredit kekal tinggi pada 5%, tetapi pendapatan operasi sebelum peruntukan (PIOP) sebanyak RM614 juta meningkat kukuh 18% tahun ke tahun (YoY) disokong pertumbuhan pendapatan (+14% YoY).
Pembiayaan kasar pula kata RHB Research, meningkat 15% YoY kepada RM15.2 bilion, melebihi sasaran pertumbuhan 12% syarikat, di samping segmen pembiayaan peribadi (+22%) dan kad kredit (+23%).
"Ini pemacu utama, manakala pembiayaan motosikal dan automotif masing-masing naik 14% dan 10% dengan pembiayaan motosikal berkuasa tinggi melonjak 82% YoY, hasil kempen pemasaran," katanya.
Aeon Credit juga mencatatkan peruntukan rosot nilai kasar RM244 juta bagi 2QFY26, dengan RM199 juta daripadanya merupakan hapus kira, jauh melebihi sasaran pengurusan sekitar RM150 juta.
Menurut RHB Research, punca utama tersebut datang daripada pelanggan muda yang berusia bawah 25 tahun dengan berpendapatan rendah yang menetap di wilayah tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan jelas firma itu, sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan kutipan hutang, yang berjaya menunjukkan hasil positif mulai Ogos 2025.
"Nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) turun kepada 2.49%, manakala liputan kerugian pinjaman (LLC) kekal kukuh pada 228%, yang menunjukkan asas pengurusan risiko masih lagi stabil," tambahnya.
Pada harga semasa kata RHB Research, Aeon Credit diniagakan pada 0.8 kali nilai buku, hampir ke paras terendah dalam rekod 10 tahun yang sebenarnya tidak mencerminkan kekuatan asas syarikat.
Jelasnya, kumpulan itu masih konsisten mencatatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) melebihi 10%, namun ia kekal berhati-hati dengan risiko penurunan terhadap unjuran keuntungan. - DagangNews.com








