KUALA LUMPUR 14 Feb — AEON Bank (M) Berhad menjalin kerjasama strategik bersama MADCash Sdn Bhd untuk memperkasakan 100 usahawan wanita daripada komuniti B40 memulakan perniagaan serta mengembangkan kemahiran keusahawanan mereka.
Usaha tersebut selari dengan program iTekad yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia, iaitu inisiatif kewangan sosial yang bertujuan menyokong ramai usahawan mikro tempatan daripada komuniti berpendapatan rendah yang memerlukan di seluruh negara.
Menurut kenyataan, program dikenali ‘GrowthStart’ itu dibangunkan bersama oleh bank digital Islamik pertama di Malaysia ini dengan MADCash, sebuah organisasi pemangkin tempatan yang memacu teknologi kewangan dan menyokong inisiatif pemerkasaan wanita.
Sebagai program pemula keusahawanan mikro, ia bertujuan untuk membimbing dan memupuk perkembangan perniagaan 100 usahawan wanita, sambil membantu mereka mengoptimumkan penggunaan perisian digital serta teknologi kewangan.
Program khas tersebut akan berlangsung mulai bulan ini sehingga Ogos tahun depan namun akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga kumpulan yang melibatkan para peserta dari empat negeri iaitu Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor.
Bagi kumpulan pertama, seramai 50 usahawan mikro wanita dari pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, pendidikan, kesihatan dan kecantikan, pertanian serta perusahaan sosial akan dipilih bagi sesi yang berlangsung sehingga Ogos ini.
Sepanjang tempoh enam bulan itu, semua peserta tersebut akan menyertai siri bengkel praktikal yang dijalankan secara fizikal dan atas talian, selain menerima bimbingan serta tunjuk ajar susulan dalam aspek perniagaan.
Sementara kumpulan kedua dan ketiga pula melibatkan 25 usahawan mikro bagi setiap kumpulan dalam selang masa enam bulan. Setiap peserta layak menerima pembiayaan Qard sebanyak RM2,000 yang selaras dengan prinsip Kewangan Shariah AEON Bank.
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, program itu merupakan komitmen ke arah memastikan keterangkuman kewangan dengan menawarkan sokongan kepada usahawan mikro wanita yang mempunyai potensi.
“Ramai kalangan usahawan wanita menghadapi cabaran mendapatkan pembiayaan dan memerlukan bimbingan untuk menguruskan perniagaan, terutama dari segi pengetahuan mengenai bisnes dalam talian yang mampu membantu mereka mengembangkan perniagaan.
"Kerjasama strategik kami dengan MADCash diharapkan dapat bantu menangani cabaran itu secara langsung. Dengan modal permulaan, bimbingan serta latihan kemahiran yang lebih fokus, ia memupuk keupayaan berdikari dan memperkasakan mereka mencapai impian keusahawanan.
"Pada dasarnya, GrowthStart merupakan lebih daripada kisah kejayaan individu; ia juga adalah inisiatif yang mampu membangunkan komuniti setempat dan mendorong perubahan sosial yang lebih berkekalan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MADCash, Nuraizah Shamsul Baharin pula berkata, pihaknya berhasrat untuk memperkasakan kaum wanita dengan membantu mereka membangunkan kemahiran dan pengetahuan perniagaan lantas meningkatkan taraf hidup mereka.
Ini berteraskan asas ekonomi yang lebih kukuh agar mereka berupaya mengatasi pelbagai cabaran selain meningkatkan tahap kewangan. Pendekatan ini pastinya akan menggalakkan keterangkuman kewangan dalam kalangan masyarakat secara efektif.
"Kami amat berbesar hati apabila diberikan peluang untuk bekerjasama dengan AEON Bank dalam usaha tersebut,” katanya sambil merujuk komitmen AEON Bank dalam menawarkan perkhidmatan kewangan yang mudah diakses kepada rakyat Malaysia.
Kenyataan tersebut turut menambah bahawa mereka bersedia untuk memperkasakan komuniti wanita B40 dalam cita-cita mengejar aspirasi kewangan serta memangkin masa depan kewangan yang lebih inklusif untuk semua.
Pada masa yang sama, kedua-dua pihak tersebut akan terus berusaha untuk menyumbang ke arah pembangunan industri perbankan Islamik di rantau ini dan pertumbuhan ekonomi digital dan teknologi kewangan di Malaysia. - DagangNews.com








