Aemulus peroleh tempahan RM10.5 juta daripada syarikat pembuatan semikonduktor di India | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aemulus peroleh tempahan RM10.5 juta daripada syarikat pembuatan semikonduktor di India

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 MacAemulus Holdings Berhad meraih tempahan baharu bernilai AS$2.7 juta (kira-kira RM10.5 juta), sekali gus menandakan kemasukan sulung syarikat tersebut ke pasaran India.


Katanya, tempahan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Aemulus Corporation Sdn Bhd, daripada sebuah syarikat pembuatan semikonduktor dan pemasangan elektronik terkemuka negara itu.


Jelas kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat berkenaan memberi tumpuan kepada pasaran produk 'Complementary Metal Oxide Semiconductor Image Sensor' (CIS).


"Hasil daripada tempahan ini akan diiktiraf secara berperingkat berdasarkan penghantaran peralatan penguji, dengan tempoh pelaksanaan dijangka antara enam hingga sembilan bulan," kata Aemulus.


Kumpulan berkenaan menjangkakan kontrak baharu tersebut akan dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat bagi dicatatkan dalam tahun kewangan berakhir pada 2026 dan 2027.


Bagaimanapun, tempahan itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih sesaham, selain tidak melibatkan sebarang perubahan kepada struktur modal saham dan pegangan saham.


Pada masa sama, syarikat memaklumkan antara risiko yang boleh mempengaruhi pelaksanaan tempahan itu termasuk isu rantaian bekalan, turun naik harga bahan, serta perubahan persekitaran politik.


Sehubungan itu jelas Aemulus, kumpulan tersebut perlu bersedia menangani sebarang kemungkinan termasuk masalah dari sudut ekonomi dan kawal selia yang mungkin berbeza di India sendiri.


"Lembaga pengarah turut mengesahkan tiada kepentingan dalam kalangan mana-mana pengarah dan pemegang saham utama terhadap tempahan berkenaan," tambahnya. - DagangNews.com