KUALA LUMPUR 8 April — Firma peralatan ujian automatik (ATE), Aemulus Holdings Berhad bekerjasama membangunkan peralatan ujian baharu dengan Samsung Electro-Mechanics Co Ltd (Semco).
Ia melibatkan Aemulus Corp Sdn Bhd (ACSB) milik penuh Aemulus, yang akan membangunkan sistem ujian kapasitor silikon baharu dipacu oleh pelan hala tuju teknologi kapasitor silikon terkini Semco.
ACSB akan mengeluarkan dan menjualnya secara eksklusif kepada Semco dari tempoh April 2025 hingga Mac 2027 sebaik sahaja sistem ujian kapasitor silikon baharu itu lengkap dibangunkan.
Hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara kedua-dua pihak tersebut, ACSB dibenarkan menjual peralatan ujian baharu itu kepada pihak ketiga selepas dua tahun pembelian pertama Semco.
ACSB menyediakan ramalan dua tahun komprehensif terperinci yang tidak mengikat bagi peralatan ujian serta boleh membeli peralatan ujian mengikut terma dan syarat ditetapkan dalam pesanan pembelian dikeluarkan oleh Semco.
“Ramalan ini hendaklah dikemukakan secara tetap dan dikemas kini secara berkala oleh Semco untuk mencerminkan sebarang perubahan permintaan pasaran, keperluan pengeluaran atau keutamaan strategik,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Saham Aemulus ditutup turun tiga sen atau 13.95 peratus kepada 18.5 sen lewat semalam, dengan permodalan syarikat tersenarai Pasaran ACE itu ialah RM121.46 juta. Ia jatuh sebanyak 38 peratus sejak awal tahun. - DagangNews.com








