KUALA LUMPUR 23 Okt – Advancecon Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Advancecon Infra Sdn Bhd meraih dua Surat Penerimaan (LOA) daripada Sime Darby Property (Bukit Raja) Sdn Bhd.
Tender terbaharu berkenaan melibatkan pelantikannya sebagai kontraktor utama kerja tanah dan kerja yang berkaitan projek syarikat tersebut di Bandar Bukit Raja 2, Mukim Kapar, Daerah Klang, Selangor.
Kata kumpulan pembinaan itu, jumlah nilai keseluruhan untuk kedua-dua kontrak terkini berkenaan ialah RM25,144,860, dengan tempoh pelaksanaan bermula 6 November 2025 dan siap pada 5 Julai 2027.
"Penerimaan kontrak ini selaras dengan kepakaran teras kumpulan dalam penyediaan kerja tanah dan kejuruteraan awam, selain jualan bahan binaan," maklum Advancecon kepada Bursa Malaysia hari ini.
Projek tersebut dijangka menyumbang positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak, serta mengukuh aliran kerja dalam sektor pembangunan hartanah dan infrastruktur di Lembah Klang.
Justeru, berdasarkan perkembangan semasa, kumpulan berkenaan menyatakan tiada risiko ketara yang dijangka timbul selain daripada risiko operasi biasa sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak itu.
Advancecon memaklumkan, kontrak tersebut tidak memberi kesan terhadap modal saham dan pegangan pemegang saham utama, namun dijangka menambah pendapatan kumpulan pada tahun kewangan berkaitan.
"Pembiayaan bagi pelaksanaan dua projek ini akan diperoleh melalui sumber dana dalaman syarikat sendiri atau daripada pinjaman luar, yang bergantung kepada keperluan operasi syarikat," katanya.
Di samping itu, syarikat tersebut menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.
Lembaga Pengarah Advancecon selepas meneliti semua aspek kontrak berpendapat penerimaan projek itu adalah dalam kepentingan terbaik kumpulan, serta selaras dengan strategi pertumbuhan berterusan.
Pada masa sama, ia menjelaskan yang kontrak ini tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham memandangkan projek dilaksanakan dalam urus niaga biasa perniagaan kumpulan. - DagangNews.com








