ACWA Power dari Arab Saudi perkukuh perkongsian strategik bersama SEDC Energy di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ACWA Power dari Arab Saudi perkukuh perkongsian strategik bersama SEDC Energy di Sarawak

ABANG Johari Tun Openg (kiri) ketika perbincangan dengan Mohammad Abunayyan (kanan) dalam kunjungan hormat ACWA Power di Kuching, Sarawak.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Ogos — ACWA Power berhasrat memperkukuh perkongsian strategik bersama SEDC Energy (SEDCE) bagi menjayakan aspirasi kerajaan negeri sejajar wawasan tenaga bersih di Sarawak.

 

Perkara tersebut ditekankan Pengasas dan Pengerusi ACWA Power, Mohammad Abunayyan, ketika beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg hari ini.

 

Dalam pertemuan di Kuching, Sarawak, beliau turut mengulangi hasrat syarikat dari Arab Saudi itu membantu Sarawak ke arah mengubah negeri tersebut menjadi hab serantau untuk hidrogen hijau.

 

"Lawatan ini menekankan komitmen ACWA Power mencontohi Projek Hidrogen Hijau NEOM utamanya di Arab Saudi, membawa skala cita-cita itu ke Sarawak," kata kenyataan bersama SEDCE dan ACWA Power.

 

 

Fudzail

 

 

NEOM ialah projek hidrogen hijau terbesar di dunia yang sedang dibangunkan, dengan menyasarkan 4 GW tenaga boleh diperbaharui (RE) untuk menghasilkan sebanyak 600 tan hidrogen hijau sehari.

 

Projek bernilai AS$8.4 bilion (RM35.6 bilion) itu direka untuk meletakkan Arab Saudi sebagai peneraju dalam ekonomi hidrogen global, selaras rapat dengan visi tenaga bersih Sarawak sendiri.

 

Inisiatif ini juga sejajar dengan komitmen pelaburan sebanyak AS$10 bilion (RM42.4 bilion) ACWA Power kepada Malaysia, diumumkan semasa Sidang Kemuncak ASEA-GCC di Kuala Lumpur pada Mei 2025.

 

"Sarawak dilihat sebagai bersedia untuk mendapat manfaat yang besar melalui infrastruktur, teknologi dan limpahan ekonomi daripada pembangunan tersebut," kata kenyataan itu lagi.

 

Di Sarawak, ACWA Power dan SEDCE bersama-sama meneroka pembangunan kemudahan hidrogen hijau yang dijana sehingga 4 GW, memberi kapasiti sebanyak 2 GW untuk eksport dan penyahkarbonan domestik.

 

Tambah kenyataan itu, kedua-dua pihak berkenaan sebenarnya telah pun menandatangani perjanjian tersebut pada tahun lepas sebagai asas untuk perancangan pelaksanaan kerjasama ini.

 

Pada masa yang sama katanya, kedua-dua pihak juga aktif berbincang dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk meneroka peluang projek solar terapung di Batang Ai dan Empangan Kuasa Hidro Murum.

 

"Mereka telah menghubungi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak untuk memastikan penjajaran kawal selia," katanya.

 

Kerjasama ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak (HETR).

 

Kenyataan tersebut menambah, perkara berkenaan turut mencerminkan kerjasama tenaga bersih yang semakin mendalam antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi. - DagangNews.com