Abdul Rashid Musa kembali sertai Proton sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Abdul Rashid Musa kembali sertai Proton sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 3 Nov Datuk Abdul Rashid Musa kembali menyertai Proton Holdings Bhd sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 November lalu.

 

Menurut Proton, Abdul Rashid akan melapor terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

 

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri automotif negara, Abdul Rashid kembali menyertai Proton selepas pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Pegawai Teknikal dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd.

 

Antara pencapaian utamanya termasuk kejayaan pelancaran Proton X70 pada 2018, yang menjadi titik perubahan penting kepada jenama Proton dan memperkukuh kedudukan syarikat dalam pasaran automotif tempatan.

 

Selepas meninggalkan Proton, beliau menyertai UMW Holdings Bhd, di mana beliau mengetuai beberapa portfolio strategik berkaitan mobiliti, inovasi serta pembangunan industri automotif mampan dan memperkukuh lagi sumbangan beliau terhadap kemajuan ekosistem automotif Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, pelantikan semula Abdul Rashid adalah satu langkah strategik dalam memperkukuh kepimpinan dan meneruskan agenda transformasi syarikat.

 

“Proton berbesar hati menyambut semula Abdul Rashid Musa. Pengalaman luas beliau dalam industri automotif dan pengetahuannya mengenai operasi Proton akan memberi nilai penting kepada syarikat serta menyokong pertumbuhan masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada masa sama, Dr Li turut merakamkan penghargaan kepada Ainol Azmil, yang telah menjalankan tugas sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dari 10 Jun hingga 31 Oktober lalu.

 

“Kami mengucapkan terima kasih atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memastikan kelangsungan operasi pengurusan sepanjang tempoh peralihan tersebut,” katanya lagi.

 

Menurut kenyataan itu, dengan pelantikan baharu ini, Ainol Azmil akan kembali kepada peranan asal beliau sebagai Naib Presiden, Strategi Korporat, selain terus menguruskan Bahagian Perolehan Teknikal Kumpulan Proton sebagai Pengarah Kanan. - DagangNews.com