KUALA LUMPUR 3 Nov – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah dikurniakan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star oleh Kerajaan Jepun sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia.
Kedutaan Jepun dalam kenyataan hari ini berkata, Abang Johari merupakan antara penerima Anugerah Imperial Musim Luruh 2025, pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan negara matahari terbit itu.
“Penganugerahan itu mengiktiraf usaha beliau dalam mempromosikan pertukaran serantau serta mempertingkatkan persefahaman antara Jepun dan Malaysia,” kata kedutaan itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut kedutaan itu lagi, Abang Johari memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama ekonomi dan tenaga antara Jepun dan Sarawak, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan ammonia.
“Di bawah kepimpinan beliau, Sarawak telah memperdalam kerjasama dengan syarikat-syarikat utama Jepun, sekali gus menyumbang kepada peralihan tenaga Jepun serta keselamatan tenaga jangka panjang melalui bekalan stabil gas asli cecair (LNG),” katanya.
Kenyataan itu menambah, Abang Johari turut memainkan peranan penting dalam memupuk kerjasama alam sekitar yang melibatkan universiti serta organisasi Jepun, dengan tumpuan kepada projek penghutanan semula dan pemuliharaan biodiversiti.
Selain kerjasama ekonomi dan alam sekitar, beliau juga aktif menyokong pertukaran akademik dan belia yang telah memperkukuh persefahaman antara Jepun dan Sarawak.
“Dedikasi dan kepimpinan beliau telah meninggalkan impak yang berkekalan terhadap hubungan persahabatan serta kerjasama antara Jepun dan Malaysia,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain Abang Johari, bekas kakitangan di Kedutaan Jepun di Malaysia, Wong Wai Chun, turut menerima The Order of the Sacred Treasure, Silver Rays sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau terhadap aktiviti dan perkhidmatan kedutaan Jepun di luar negara.








