A1 AK Koh labur RM16.7 juta beli tanah di Puchong Jaya bina bangunan komersial 5 tingkat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

A1 AK Koh labur RM16.7 juta beli tanah di Puchong Jaya bina bangunan komersial 5 tingkat

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 AprilA1 AK Koh Group Berhad mengumumkan langkah pelaburan besar berjumlah RM16.73 juta secara tunai untuk mengambil alih sebidang tanah pajakan di Puchong Jaya, Selangor.


Bagaimanapun, syarikat tersebut turut berdepan dengan risiko kerugian mencecah RM1 juta sekiranya cadangan pembelian aset berkenaan gagal mendapat kelulusan daripada majoriti pemegang sahamnya.


Menerusi makluman di Bursa Malaysia, anak syarikatnya, AK Koh Enterprise Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Qualitypack Properties Sdn Bhd bagi tanah yang berkeluasan 410 hektar itu.


"Deposit RM1 juta itu akan diambil penjual jika kelulusan pihak berkuasa negeri diperoleh tetapi pemegang saham menolak transaksi ini pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan datang," katanya.


A1 bercadang membina sebuah kompleks komersial 5 tingkat yang berfungsi sebagai pejabat jualan dan pemasaran wilayah bagi menyokong pertumbuhan pesat kakitangan dan operasi di wilayah tengah.


Selain daripada harga tanah, syarikat tersebut menganggarkan kos pembangunan kasar (GDC) bangunan berkenaan adalah sekitar RM8.5 juta, dengan pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2027.

 

A1 AK_DagangNews


Tanah itu ujarnya, terletak strategik di Jalan Puchong Batu 7 1/2, berhampiran dengan kawasan seperti Kompleks Suria Kinrara dan Pusat Perniagaan Kinrara, serta akses ke lebuh raya KESAS dan MEX.


"Pengambilalihan ini turut akan dibiayai melalui pinjaman bank dan dana dalaman, yang dijangka meningkatkan nisbah gear kumpulan daripada 0.36 kali kepada 0.60 kali," jelas makluman A1 lagi.


Menyentuh isu nilai tanah itu, pertimbangan pembelian sebanyak RM16.73 juta katanya adalah hampir menyamai nilai pasaran yang ditetapkan oleh firma penilai bebas, Laurelcap Sdn Bhd, iaitu RM16.5 juta.


Langkah pembelian aset tersebut diambil memandangkan A1 ketika ini beroperasi di pejabat sewa di Taman Perindustrian OUG yang tidak lagi mampu untuk menampung skala operasi pada masa hadapan.


Lembaga Pengarah A1 menyuarakan keyakinan pembangunan ini akan memberikan pulangan menarik kepada pemegang saham dalam jangka panjang selaras unjuran ekonomi Malaysia yang stabil.


"Sekiranya tiada sebarang halangan, transaksi ini dijangka dapat diselesaikan secara sepenuhnya menjelang tempoh suku keempat 2026," katanya. - DagangNews.com