KUALA LUMPUR 19 Dis — Majoriti besar pemegang saham Wawasan Dengkil Holdings Berhad meluluskan cadangan penubuhan syarikat usaha sama (JV) bagi memajukan projek loji solar berskala besar (LSS).
Pembangunan stesen jana kuasa berkapasiti 70 megawatt (MW) di Mukim Ayer Putih, Daerah Pendang, Kedah itu, menandakan langkah strategik kumpulan itu memasuki sektor tenaga boleh diperbaharui (RE).
Syarikat itu turut mengesahkan yang kesemua dua resolusi biasa dibentangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan hari ini sudah berjaya diluluskan melalui undian secara pungutan suara.
"Di bawah Resolusi 1, 24 pemegang saham mewakili 99.9933% undi, melibatkan 37.14 juta saham menyokong, dan dua atau 0.0067% bersamaan 2,501 saham menentang," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Kelulusan itu jelas Wawasan Dengkil, membolehkan cadangan JV antara anak syarikat milik penuhnya, Wawasan Dengkil Sdn Bhd dapat diteruskan dengan Nestcon Infra Sdn Bhd, dan WD Solar Kedah Sdn Bhd.
Ketiga-tiganya bakal melabur secara bersama bagi membangunkan loji solar fotovoltaik LSS 70MW serta kemudahan yang berkaitan, di bawah program khas kerajaan dikenali sebagai LSS Petra 5+.
Sementara itu jelasnya, Resolusi 2 yang melibatkan cadangan diversifikasi aktiviti teras Wawasan Dengkil dan anak syarikatnya untuk merangkumi pelaburan dalam RE dan segala aktiviti tenaga berkaitan.
"Ia turut mendapat kelulusan majoriti pemegang saham dengan keputusan undian yang sama, dan kedua-dua usul tersebut disahkan oleh pemerhati bebas dilantik, Scrutineer Solutions Sdn Bhd," katanya.
EGM diadakan di Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA, Sepang, dan membuka laluan kepada Wawasan Dengkil memperluaskan asas pendapatan jangka panjang melalui sektor RE. - DagangNews.com








