KUALA LUMPUR 4 Mac — Sembilan syarikat platform gig iaitu Bolt, FastGig, Foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, Lalamove dan ShopeeFood menyambut baik tindakan kerajaan meneliti semula Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig.
Menerusi kenyataan bersama, mereka berterima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju memperhalusi lagi RUU itu dan ia mencerminkan komitmen terhadap pendekatan inklusif, perundingan dalam pembentukan dasar pekerja dan ekonomi digital.
"Kami menghargai kesediaan Kementerian Sumber Manusia untuk melibatkan diri dengan pemain industri dan pekerja gig, demi memastikan RUU tersebut lebih praktikal, mampan, dan sejajar dengan realiti tugasan gig," katanya.
RUU berkenaan sepatutnya bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember 2025 selepas draf mengenai perkara itu dibuat sejak 2019 namun ditunda kerajaan bagi memberi ruang proses libat urus dengan banyak pihak berkepentingan.
Sekiranya diluluskan, Malaysia bakal menjadi antara negara terawal bersama 15 lagi negara lain yang sudah mewartakan akta perlindungan khusus untuk kawal selia pekerja gig serta syarat perkhidmatan dan penyelesaian konflik.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, pendekatan kolaboratif kali ini ialah langkah positif ke arah melindungi kebajikan pekerja gig sambil memupuk inovasi, persaingan dan peluang untuk semua pemain industri secara lebih adil.
"Sebagai platform dalam talian yang bekerjasama dengan lebih sejuta pekerja gig di negara ini, kami bersedia untuk menyokong usaha kerajaan melalui siri dialog yang bermakna, perkongsian data dan inisiatif perintis," katanya.
Kumpulan itu namun mengulangi cadangan mereka untuk memudahkan kajian kebolehlaksanaan dan impak komprehensif yang melibatkan input langsung daripada pekerja dan pemain industri untuk menilai pelaksanaan praktikal peruntukan utama.
Selain itu mereka juga mahu dibentuk 'kotak pasir kawal selia' sebagai entiti untuk menguji langkah baharu, memperhalusi penyelesaian dan memastikan RUU itu praktikal, mampan, adil dan saling menguntungkan kepada ekosistem.
Mereka bagaimanapun kekal komited sepenuhnya dalam perkongsian asal dengan kerajaan untuk membangunkan rangka kerja pengawalseliaan yang seimbang kerana sebagai industri yang berkembang maju, mereka tidak menentang RUU tersebut.
"Kami namun mahu memastikan polisi itu dipertimbangkan dengan teliti dan dirangka rapi. Kami sedar bahawa layanan adil terhadap pekerja cukup penting untuk industri kerana kesejahteraan mereka akan mewujudkan ekosistem inovatif," katanya.
Matlamat jangka panjang mereka ujar kenyataan itu, adalah untuk mewujudkan perlindungan yang melindungi rezeki pekerja gig sambil pada masa yang sama menggalakkan pertumbuhan berterusan sistem ekonomi digital Malaysia sendiri.
Justeru jelasnya, apabila definisi kerja berkembang, ekonomi gig bakal menjadi semakin penting kepada sistem pendigitalan negara untuk turut berkembang maju yang menggalakkan kepada fleksibiliti, inovasi, dan keusahawanan.
"Kita sebenarnya boleh membina masa depan untuk pekerja gig dapat dilindungi, manakala platform diperkasa untuk lebih berinovasi, dan akhirnya Malaysia kekal sebagai peneraju dalam ekonomi gig global," tambah kenyataan itu. - DagangNews.com








