KUALA LUMPUR 8 April — Sekurang-kurangnya 8,000 premis kediaman dan komersial, serta 300 kilang, dilaporkan terjejas bekalan gas berikutan letupan saluran paip gas di Putra Heights, Selangor pada 1 April 2025.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Kerajaan Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, sebanyak empat stesen janakuasa turut terjejas akibat gangguan tersebut yang setiap hari memerlukan bekalan berjumlah 200 juta kaki padu gas asli.
Jelas beliau, ia membabitkan Stesen Janakuasa Jambatan Connaught, Stesen Janakuasa Pulau Indah, Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz dan Stesen Janakuasa Putrajaya.
"Semakan kami menunjukkan secara keseluruhan 330 juta kaki padu gas diperlukan termasuk sebanyak 130 juta kaki padu untuk unit kediaman dan komersial, serta kilang," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian itu hari ini.
Mengulas lanjut, Izham berkata, operasi salah satu stesen janakuasa tersebut masih lagi boleh berselang-seli antara gas dan arang batu manakala satu lagi boleh berselang-seli antara gas dan minyak.
Bekalan kuasa yang hilang untuk baki dua lagi loji janakuasa berkenaan kata beliau, terpaksa ditampung oleh beberapa loji janakuasa lain dalam grid tenaga tersebut.
Beliau berkata, perbincangan telah dijalankan dengan pihak Gas Malaysia Berhad dan Petronas Gas Berhad mengenai cara untuk meminimumkan kesan gangguan gas pada masa ini.
"Mungkin saluran paip maya boleh digunakan, dengan tangki yang diangkut oleh trak untuk menghantar bekalan gas terus kepada stesen janakuasa dan premis terjejas," kata Izham.
Gangguan bekalan dilaporkan sudah berlaku di beberapa kawasan di Lembah Klang, berikutan letupan saluran paip gas di Putra Heights, yang dijangka berterusan sehingga 20 April 2025.
Suruhanjaya Tenaga, menerusi satu kenyataan pada Isnin, berkata, bekalan gas kini tersedia dalam kapasiti terhad, dengan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital, penjanaan elektrik dan penstabilan tekanan saluran paip.
Kawasan yang dikesan terjejas termasuk Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar, dengan beberapa gangguan lagi turut berlaku di zon utara.
Suruhanjaya tersebut berkata, pengguna yang terlibat telah mula menerima notis daripada pembekal gas masing-masing, dengan sekatan dijangka berlanjutan beberapa hari. - DagangNews.com








