77% ibu bapa Malaysia sokong sekatan akses akaun media sosial bawah 16 tahun - Kajian global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

77% ibu bapa Malaysia sokong sekatan akses akaun media sosial bawah 16 tahun - Kajian global

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 April - Satu kajian global menunjukkan 77 peratus ibu bapa di negara ini menyokong pelaksanaan sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak berusia bawah 16 tahun.

 

Jumlah itu merupakan sokongan paling tinggi daripada 15 negara yang mengambil bahagian dalam kajian global Family First oleh Yayasan Varkey.

 

Berada pada kedudukan kedua dalam menyokong pendekatan itu ialah India dengan 75%, diikuti Perancis (74%), manakala Jepun mencatat dokongan paling rendah sebanyak 38%.

 

Kajian global melibatkan 6,002 ibu bapa, 6,011 anak mereka berusia 9 hingga 18 tahun, 3,000 datuk dan nenek kepada kanak-kanak dalam lingkungan umur yang sama, serta 3,000 responden Gen Z.

 

Varkey

 

Ia dijalankan pada Januari hingga Februari 2026 merangkumi 15 negara iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, India, Jepun, Kenya, Malaysia, Nigeria, Sweden, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

 

Dapatan lain daripada kajian itu menunjukkan  62% kanak-kanak & remaja Malaysia menyokong pendekatan tersebut mengatasi peratusan global 37 peratus.

 

Sementara itu, sebanyak 65 peratus menunjukkan Gen Z di Malaysia turut menyokong pendekatan kawalan berkenaan berbanding peratusan global 51 peratus.

 

Secara keseluruhan sebanyak 60% ibu bapa di seluruh dunia menyokong pelaksanaan sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak berusia bawah 16 tahun, 21% menentang, manakala 19% berkecuali.

 

Kajian itu antara lain memberi gambaran jelas akan mandat awam daripada rakyat Malaysia menyokong pelaksanaan pendekatan tersebut.

 

Pendekatan yang berteraskan kepada 'melengahkan dan bukan mengharamkan terus' langkah praktikal bagi melindungi kumpulan berkenaan daripada ancaman media sosial.

 

Pada 16 April 2026 Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan melaksanakan sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun sebagai langkah memperkukuh perlindungan dalam talian.

 

Katanya, sekatan akses itu dijangka dilaksanakan hujung Jun ini, tertakluk kepada penelitian akhir. 

 

“MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sedang melakukan regulatory sandbox (medan uji) dengan platform media sosial untuk mengenal pasti mekanisme yang pada waktu ini dilaksanakan oleh penyedia platform.

 

“Yang kedua, untuk menyeragamkan dengan mekanisme yang mungkin kita harapkan (dan) kita tidak mahu sekadar disebut sebagai age assurance tapi age verification kerana Malaysia dalam konteks perundangannya berbeza yang mana kita mempunyai dokumen rasmi kerajaan iaitu MyKad,” katanya. - DagangNews.com