KUALA LUMPUR 6 Mac – 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd kini sedang berunding dengan kerajaan untuk menjadi salah satu peruncit yang menyertai program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), menurut CIMB Securities.
Program SARA memberikan penerimanya bantuan wang tunai untuk membeli barangan keperluan asas di rangkaian pasar raya dan kedai runcit terpilih di seluruh negara.
CIMB Securities sekiranya penyertaan 7-Eleven dalam program itu diluluskan, ia akan memberi manfaat kepada jualan dalam rangkaian kedai serbaneka itu.
Pertumbuhan jualan di kedai sedia ada 7-Eleven meningkat sebanyak lima peratus tahun lalu.
Bagaimanapun, CIMB Securities menegaskan kesan daripada SARA mungkin terhad kerana program ini menumpukan kepada barangan keperluan sahaja sedangkan 7-Eleven dilihat banyak menjual pelbagai produk lain yang tidak termasuk dalam senarai bantuan SARA.
Bagi pihak 7-Eleven Malaysia pula, penyertaan SARA dijangka mampu meningkatkan capaian mereka kepada golongan berpendapatan rendah, menambah bilangan pengunjung ke kedai, serta mengukuhkan nilai jenama di mata pengguna.
Setakat ini, 7-Eleven mempunyai 2,735 cawangan di seluruh negara. Untuk tahun ini, syarikat mensasarkan penambahan 100 cawangan baru serta pengubahsuaian 200 cawangan klasik kepada format CAFé by 7-Eleven.
Kini, terdapat 859 cawangan CAFé beroperasi.
Walaupun begitu, saham 7-Eleven menghadapi cabaran jangka panjang setelah tiga firma broker memberi saranan Jual bagi saham ini, dengan CIMB Securities mengekalkan sasaran harga RM1.50.
Antara faktor cabaran ialah persaingan sengit daripada jenama antarabangsa seperti FamilyMart dari Jepun dan CU dari Korea, selain jenama tempatan seperti Mix Store. Kos operasi yang meningkat dan kecairan saham yang rendah turut menjadi faktor risiko.
Pada 2025, saham 7-Eleven kekal stabil walaupun persaingan semakin sengit, dan harga terakhir dicatat pada RM1.99. Saham ini biasanya kurang aktif diniagakan di pasaran.
Dengan potensi penyertaan SARA, 7-Eleven berharap dapat menarik lebih ramai pelanggan daripada golongan berpendapatan rendah dan pada masa sama meneruskan pengembangan cawangan dan pengubahsuaian kedai untuk meningkatkan pengalaman pelanggan mereka. - DagangNews.com








