KUALA LUMPUR 11 Nov - Enam kumpulan syarikat dilaporkan telah mengemukakan bidaan bagi membangunkan sistem kutipan tol aliran bebas berbilang lorong (Multi-Lane Free Flow atau MLFF) bernilai berbilion ringgit di Malaysia, menurut sumber yang rapat dengan perkara itu.
Difahamkan, Kementerian Kerja Raya (KKR) baru-baru ini telah mengeluarkan permintaan untuk cadangan (Request for Proposal, RFP) dengan tarikh tutup penyerahan pada 16 Oktober lalu.
“RFP itu dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya dan bukannya oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia, atas sebab yang tidak dapat dipastikan.
"Setakat yang kami tahu, sekurang-kurangnya empat bidaan telah diterima, walaupun mungkin terdapat satu atau dua penyertaan saat akhir,” kata seorang sumber yang enggan dinamakan, menurut laporan The Edge.
Sumber berkenaan menambah, antara pihak yang membida termasuk
1. JustGo Digital Bhd yang disokong oleh PLUS Malaysia Bhd dan syarikat konsesi lebuh rayanya; Touch ’n Go Sdn Bhd yang disokong oleh Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) di bawah Permodalan Nasional Bhd;
2. Usaha sama antara Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd (KJS) dan SEP Synergy (M) Sdn Bhd yang disokong oleh lebuh raya di bawah IJM Corp Bhd dan Taliworks Corp Bhd
3. Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd bergabung dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).
4. Setel Ventures Sdn Bhd
5. Usaha sama antara sebuah keluarga diraja Malaysia dengan konsortium dari Qatar yang menggunakan teknologi Korea Selatan.
Melalui proses RFP ini, kerajaan menyasarkan pelaksanaan sistem tol MLFF menjelang 2027, merealisasikan impian sistem kutipan tol tanpa palang yang telah dicetuskan kira-kira 20 tahun lalu ketika mendiang Tun Samy Vellu memegang jawatan Menteri Kerja Raya bagi penggal kedua dari Mei 1995 hingga Mac 2008.
Sistem MLFF dijangka dapat melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan berbanding sistem sedia ada yang masih memerlukan kenderaan memperlahankan kelajuan ketika melalui plaza tol.
Para Pembida
JustGo Digital, dahulunya dikenali sebagai Linkedua (M) Bhd, dimiliki sepenuhnya oleh PLUS Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan UEM di bawah Khazanah Nasional Bhd.
Difahamkan, syarikat itu bercadang menggunakan teknologi pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR) yang dipaut kepada e-dompet atau kad kredit/debit. Projek perintis bagi menguji sistem itu di Lebuhraya Utara-Selatan telah bermula pada Oktober lalu, namun hasilnya belum didedahkan.
Aplikasi JustGo Digital turut menawarkan ciri seperti semakan transaksi tol dan perkhidmatan lain.
PLUS Malaysia mengendalikan beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Lembah Klang Utara, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Hubungan Tengah Utara-Selatan, Lebuhraya Kedua Malaysia–Singapura, Lebuhraya Butterworth–Kulim serta Jambatan Pulau Pinang.
Touch ’n Go pula dimiliki sepenuhnya oleh CIMB Digital Assets Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat milik penuh CIMB Group Holdings Bhd, manakala Projek Lintasan Kota Holdings memiliki konsesi bagi Lebuhraya Sungai Besi–Ulu Kelang serta Lebuhraya Damansara–Shah Alam, selain memegang 51% kepentingan dalam Prolintas Infra Business Trust yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Aset di bawah Prolintas termasuk empat lebuh raya bandar — Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur, Lebuhraya Guthrie Corridor, Lebuhraya Kajang Dispersal Link dan Lebuhraya Kemuning–Shah Alam.
Konsortium Jaringan Selangor dimiliki sepenuhnya oleh YTL Communications Sdn Bhd, yang 60% dikawal oleh YTL Power International Bhd, dengan baki pegangan dipegang oleh Sultan Idris Shah, Bara Aktif Sdn Bhd (milik bersama Raja Datuk Wahid Raja Kamaral Zaman) dan Bara Aktif Holdings Ltd.
Sementara itu, SEP Synergy (M) Sdn Bhd dimiliki sepenuhnya oleh SEP Capital (M) Sdn Bhd yang dikawal 50% oleh Maszeallan Mohamad, 45% oleh Abdullah Sufiyan Mohamed Amir Abas dan 5% oleh Mohamed Izran Mohamed Al Amin.
Secara tempatan, IJM memiliki Besraya (M) Sdn Bhd, konsesi bagi Lebuhraya Sungai Besi, New Pantai Expressway Sdn Bhd dan Lebuhraya Kajang–Seremban Sdn Bhd, serta pegangan 28.12% dalam WCE Holdings Bhd.
Taliworks pula memiliki dan mengendalikan dua lebuh raya — Lebuhraya Cheras–Kajang (Grand Saga) dan Lebuhraya New North Klang Straits Bypass (Grand Sepadu).
PayNet dimiliki 35.54% oleh Bank Negara Malaysia dan 11 buah bank tempatan yang masing-masing memegang 5.86% kepentingan, iaitu CIMB, Alliance Bank, Hong Leong Bank, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat, RHB Bank, Maybank, Affin Bank, Public Bank dan AmBank.
Amanat Lebuhraya Rakyat ditubuhkan sebagai syarikat persendirian tanpa keuntungan (not-for-profit) dengan tujuan khusus mengurus perniagaan konsesi lebuh raya. Ia mengambil alih aset lebuh raya milik Gamuda Bhd — termasuk Kesas Sdn Bhd, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint) dan Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (SMART Tunnel) — pada Oktober 2022 dengan nilai pengambilalihan RM4.26 bilion.
Setel Ventures pula dimiliki sepenuhnya oleh Petronas Dagangan Bhd, yang 64.94% dikawal oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Setakat ini, masih belum jelas pihak mana yang mempunyai kelebihan dalam usaha mendapatkan kontrak sistem tol MLFF tersebut. - DagangNews.com








