6 bulan bersengkang mata sepanjang malam rundingan perjanjian dagangan disebabkan perbezaan waktu AS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

6 bulan bersengkang mata sepanjang malam rundingan perjanjian dagangan disebabkan perbezaan waktu AS

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Okt – Perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan pada 26 Oktober 2025 disifatkan sebagai paling kompleks dan pantas dalam sejarah negara.


Bagaimanapun, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mendedahkan, rundingan secara intensif itu berlangsung padat selama tempoh enam bulan tanpa henti.


Berucap dalam sesi taklimat khas di Parlimen semalam, beliau berkata, pasukan kerajaan Malaysia gigih berunding pada waktu malam hingga awal pagi ekoran perbezaan masa 12 jam dengan Washington DC.


Beliau namun menambah, semua pegawai kerajaan yang terlibat dalam rundingan berkenaan tetap hadir meneruskan tugasan harian mereka seperti biasa pada sebelah siang sepanjang tempoh enam bulan itu.


“Selepas setiap pusingan rundingan dengan rakan sejawatan di AS, keputusan perlu dirujuk kepada kementerian berkaitan untuk maklum balas sebelum dibawa ke Kabinet bagi pertimbangan,” jelasnya.


Tengku Zafrul turut mendedahkan yang beliau pernah perlu menyusun beberapa panggilan telefon antara Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 6 pagi.


Tindakan berkenaan jelas beliau, dilaksanakan bagi mempercepat penyelesaian kepada isu-isu utama dalam rundingan, tanpa menyatakan secara spesifik bilakah tarikh perbualan itu berlangsung.


Menurut beliau, proses rundingan tersebut ini adalah 'tidak pernah berlaku sebelum ini', berbeza dengan banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang kelazimannya mengambil masa bertahun-tahun.


“FTA yang terpantas pernah disiapkan dalam tempoh 18 bulan, tetapi Malaysia berjaya memuktamadkan rundingan ini dalam masa separuh daripada itu, di bawah tekanan tarif aktif AS,” kata Tengku Zafrul.


Tegas beliau, perjanjian itu bukan ‘cek kosong’, sebaliknya mekanisme perlindungan bagi memastikan sebarang tindakan masa hadapan perlu melalui proses perundingan dua hala, bukan ancaman sehala.


Beliau juga mengingatkan pelbagai pihak agar isu tersebut tidak dipolitikkan, sambil memuji usaha dedikasi penjawat awam yang memainkan peranan penting dalam melindungi segala kepentingan negara.


“Kejayaan memuktamadkan perjanjian ini membuktikan komitmen tinggi penjawat awam mempertahankan kepentingan nasional. Saya kecewa apabila ada yang memperlekehkan usaha mereka,” tambah beliau.


Selain itu katanya, perjanjian dengan AS hanyalah sebahagian daripada strategi lebih luas MITI untuk mempelbagaikan pasaran eksport dan mengukuh hubungan perdagangan melalui perjanjian baharu.


Rundingan itu termasuk dengan Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara-negara EFTA (Switzerland, Norway, Liechtenstein dan Iceland), yang berjaya dimuktamadkan sepanjang tahun ini.


Perjanjian secara timbal balik Malaysia–AS ketika ini masih lagi menunggu proses ratifikasi undang-undang sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya. - DagangNews.com