5E Resources tingkatkan kapasiti pemulihan sisa bernilai tinggi kepada 1 juta tan setahun, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

5E Resources tingkatkan kapasiti pemulihan sisa bernilai tinggi kepada 1 juta tan setahun, kata RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 April - Kemudahan baharu 5E Resources Holdings Bhd (5E) di Johor yang dijadual mula beroperasi pada separuh kedua 2026 dijangka meningkatkan kapasiti pemulihan sisa bernilai tinggi kumpulan kira-kira 80% kepada 508,560 tan setahun, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, loji PLO 321 itu telah memperoleh kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi 27 kod sisa, termasuk empat kategori baharu yang akan meningkatkan jumlah kod berlesen kepada 38.

 

"Selain itu, kemudahan berkenaan akan memperkenalkan teknologi pemulihan baharu seperti penghasilan bahan api pepejal terhasil (SRF) serta kitar semula bateri kenderaan elektrik terpakai, sekali gus memperkukuh keupayaan teknikal dan meningkatkan nilai produk pemulihan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

RHB Research berkata, 5E menyasarkan untuk mengumpul RM79.2 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO), dengan sebahagian besar hasil akan digunakan bagi membiayai pengembangan kemudahan di Perak.

 

Langkah itu dilihat strategik dalam usaha menembusi pasaran utara Semenanjung Malaysia yang masih kurang diterokai, sekali gus membuka peluang kepada aktiviti pemulihan sisa bernilai lebih tinggi.

 

Dalam jangka masa panjang, katanya, lebih 70% hasil IPO akan disalurkan kepada pembangunan kemudahan di Perak yang dijangka meningkatkan kapasiti sisa sebanyak 173% kepada hampir 1 juta tan setahun serta menambah kod sisa berlesen kepada 44 menjelang 2030.

 

Firma penyelidikan itu berkata, nilai saksama saham 5E dianggarkan pada RM0.39 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 16 kali bagi unjuran tahun kewangan 2027 (FY27F), menjadikannya peluang pelaburan yang menarik memandangkan ia kini diniagakan pada P/E 10.6 kali.

 

Dari segi asas perniagaan, 5E yang mempunyai rekod operasi selama 18 tahun menawarkan perkhidmatan pengurusan sisa terjadual secara menyeluruh merangkumi pengujian, pengumpulan, pemulihan dan kitar semula.

 

Syarikat itu kini menguruskan 34 daripada 77 kategori sisa terjadual di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling, sekali gus meletakkannya dalam kalangan pemain industri dengan liputan peraturan yang luas.

 

Firma penyelidikan berkata, halangan kemasukan yang tinggi dalam industri ini — termasuk keperluan pelesenan dan pematuhan ketat — memberi kelebihan daya saing kepada 5E untuk mengekalkan kedudukan pasaran yang kukuh.

 

Model perniagaan “waste-to-value” syarikat turut menyokong pertumbuhan pendapatan apabila ia mampu memindahkan kos pemprosesan kepada pelanggan.

 

Kumpulan ini juga menjana pendapatan daripada pemulihan sisa, dengan hasil seperti asid, alkali, bahan penyejuk, minyak, pelarut dan minyak bahan api digunakan semula secara dalaman atau dijual kepada pelanggan, sekali gus meningkatkan keuntungan. 

 

"Apabila jumlah meningkat, leverage operasi dijangka memacu pengembangan margin. Secara strategik, 5E berada pada kedudukan baik sebagai pemacu ekonomi kitaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, dengan permintaan yang disokong oleh pertumbuhan sektor E&E, kimia dan logam fabrikasi," katanya.

 

Bagaimanapun, antara risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk potensi ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan lesen operasi, permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan serta risiko pelaksanaan projek. - DagangNews.com