KUALA LUMPUR 10 Sept – 5E Resources Holdings Berhad, hampir menuju penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia selepas memeterai perjanjian taja jamin bersama TA Securities Holdings Berhad.
Penyedia perkhidmatan pengurusan sisa terjadual dan produk kitar semula itu berkata, cadangan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat tersebut, dijangka membuka banyak peluang pelaburan strategik
Katanya, TA Securities akan bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin serta ejen penempatan bagi penerbitan IPO tersebut, dengan melibatkan sejumlah 304.5 juta saham yang baharu.
"Selain itu, kami menawarkan penjualan 154 juta saham sedia ada oleh pemegang saham utama yang dijangka membuka pegangan ekuiti sehingga 30% kepada pelabur awam," kata kenyataan 5E Resources.
Berdasarkan draf prospektus syarikat itu, sebahagian besar hasil kutipan daripada IPO tersebut akan digunakan untuk membiayai pembangunan sektor pengurusan sisa yang berkembang pesat di Malaysia.
Ini meliputi pembinaan fasiliti pengurusan sisa terjadual baharu di Batang Padang, Perak, dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM110.66 juta termasuk pelbagai peralatan dan jentera.
Pembinaan dijadualkan bermula pada 2027 dan siap menjelang 2029, dengan operasi dijangka bermula pada separuh pertama 2030 selepas memperoleh kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak.
"Ketika ini, operasi utama 5E Resources berpusat di Pasir Gudang, Johor, merangkumi pemprosesan sisa terjadual serta penjualan semula produk yang diperoleh semula," kata syarikat tersebut.
Ia merangkumi logam berharga, bekas kitar semula dan komponen industri lain, dengan pelanggan utama terdiri daripada pengeluar sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik, kimia, plastik dan getah.
Bagi tahun kewangan 2024, ia mampu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM21.78 juta daripada pendapatan berjumlah RM80.15 juta yang menandakan prestasi kewangan lebih kukuh dan berdaya saing.
Hasil penjualan saham sedia ada itu kata 5E Resources, akan disalurkan kepada GreenEdge Sdn Bhd, pemegang saham utama yang dikawal bersama Pengerusinya, Loo Sok Ching dan beberapa individu lain.
"Penyenaraian ini mengukuh kedudukan kami sebagai salah satu pemain utama sektor pengurusan sisa di Malaysia yang semakin penting selaras matlamat negara kita menggalakkan ekonomi kitaran," katanya.
Dengan kerjasama strategik dan pelan pengembangan jelas, syarikat dijangka menarik minat pelabur yang ingin menempatkan modal dalam sektor peralihan hijau negara. - DagangNews.com








