5,133 kes curi elektrik dikesan 2021-2025, pemilik premis digesa pindah akaun meter kepada penyewa - TPM Fadillah memberitahu Parlimen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

5,133 kes curi elektrik dikesan 2021-2025, pemilik premis digesa pindah akaun meter kepada penyewa - TPM Fadillah memberitahu Parlimen

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Feb — Sejumlah 5,133 kes kecurian elektrik berjaya dikesan melalui penggunaan meter pintar sejak 2021 hingga 2025, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.


Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, ia melibatkan kerugian RM41 juta dalam tempoh tersebut hasil pemasangan peranti meter pintar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Selain itu, beliau menjelaskan penggunaan teknologi dron dan peranti pengesan haba mudah alih turut membolehkan usaha pengesanan haba di lokasi mencurigakan yang dikenal pasti ada kes kecurian. 

 

 

 

 

 


"Langkah ini turut membantu TNB untuk segera mengenal pasti aktiviti perlombongan mata wang kripto yang dijalankan secara haram,” kata Fadillah pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.


Menurut beliau, kecurian elektrik bukan sahaja membahayakan keselamatan pengguna, malah memberi kesan kepada ekonomi negara serta mengancam sistem bekalan tenaga elektrik awam nasional.


Justeru, beliau menasihatkan pemilik premis yang menyewakan hartanah agar menukarkan akaun meter kepada nama penyewa bagi mengelakkan mereka terpalit sekiranya berlaku aktiviti kecurian elektrik.


“Kita mendapati ada kes pemilik menyewakan premis tanpa menukar akaun meter, menyebabkan mereka berdepan tunggakan yang mencecah ratusan ribu ringgit walaupun tidak pernah terlibat,” katanya.


Fadilah menambah, statistik menunjukkan peningkatan kes saban tahun dengan 379 kes direkodkan pada 2021, diikuti 647 (2022), 909 (2023), 1,298 (2024) dan 1,900 kes sepanjang tahun lalu sahaja.

 

 

 

 

 

 


Jelasnya, lonjakan jumlah kes yang dikesan tersebut membuktikan keberkesanan penggunaan teknologi dalam aktiviti penguatkuasaan tegas, walaupun ia turut menyaksikan pertambahan nilai kerugian.


Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai jumlah kes dan anggaran kerugian, serta Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berhubung usaha pembanterasan kecurian. - DagangNews.com