IPOH 27 Okt - Seramai 51 usahawan asnaf di bawah Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menerima manfaat menerusi geran iTEKAD.
Ia hasil kerjasama strategik antara MAIPk, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Jumlah keseluruhan geran iTEKAD yang disalurkan berjumlah RM385,000 merangkumi RM200,000 sumbangan BIMB dan SSM (RM185,000).
MAIPk dalam satu kenyataan memberitahu, melalui inisiatif ini setiap usahawan menerima geran modal perniagaan antara RM5,000 hingga RM40,000.

Jelas kenyataan itu, sebahagian penerima turut memperoleh pembiayaan tambahan BIMB antara RM20,000 hingga RM50,000 bagi memperkukuh modal pusingan dan memperluas operasi perniagaan masing-masing.
“Program ini adalah manifestasi usaha berterusan MAIPk dalam memperkasa ekonomi asnaf agar mampu berdikari dan keluar daripada kemiskinan.
“Program iTEKAD bukan sekadar pemberian dana, tetapi satu platform pembinaan keupayaan. MAIPk mahu melihat penerima bantuan hari ini menjadi penyumbang zakat pada masa akan datang,” kata kenyataan tersebut.
Terdahulu, majlis penyerahan geran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini

Hadir sama Pengarah SSM Negeri Perak, Azurah Nor Sariff serta Ketua Syariah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan BIMB, Mohd Nazri Chik.
Program iTEKAD merupakan inisiatif sosial yang menggabungkan elemen pembiayaan inklusif, latihan keusahawanan dan bimbingan mentor bagi membantu golongan asnaf serta berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup mereka.
Pelaksanaan program ini di bawah MAIPk telah melahirkan ramai usahawan berjaya.
Mereka bukan sahaja mampu mengubah kehidupan keluarga masing-masing, tetapi turut berpotensi menyumbang kembali kepada ekonomi ummah melalui pembayaran zakat perniagaan. - DagangNews.com







