KUALA LUMPUR 8 Jan – Hanya 49 pemegang saham Top Glove Corporation Berhad menolak pelantikan semula Pengerusi Eksekutif Tan Sri Dr Lim Wee Chai, sebagai anggota lembaga pengarah syarikat.
Bagaimanapun, pengasas kumpulan tersebut menerima sokongan besar apabila 269 lagi yang mewakili 99.27% atau 2.385 bilion saham bersetuju memilih kembali tokoh korporat berusia 66 tahun itu.
Sebaliknya, kumpulan yang menentang beliau cuma kira-kira 0.72% atau bersamaan 17.38 juta saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-17 di Menara Top Glove, Shah Alam, Selangor hari ini.
"Kesemua sembilan resolusi diluluskan melalui undian, dan keputusan disahkan oleh Commercial Quest Sdn Bhd selaku penilai bebas yang dilantik," maklum syarikat berkenaan kepada Bursa Malaysia.
Wee Chai, memimpin pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu sejak penubuhan pada 1991, daripada daripada sebuah syarikat yang kecil kepada multinasional tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Top Glove ketika ini beroperasi di lebih 195 negara, dan beliau juga memiliki kepentingan dalam beberapa syarikat yang lain melalui pelaburan secara peribadi serta tanggungjawab korporat.
Sebanyak lapan lagi resolusi biasa turut diluluskan sepenuhnya, termasuk pelantikan semula Lim Cheong Guan, Datuk Dr Norma Mansor dan Emelia Matrahah sebagai pengarah kumpulan tersebut.
"Majoriti besar pemegang saham turut meluluskan bayaran yuran pengarah untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 dan manfaat bukan yuran pengarah kepada pengarah bukan eksekutif," katanya.
Selain itu, sebahagian besar bersetuju untuk melantik semula Ernst & Young PLT sebagai juruaudit syarikat sehingga AGM akan datang, dan pembaharuan kuasa pembelian balik saham oleh syarikat.
Kira-kira 261 lagi turut menyokong usul pemberian kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk mengeluarkan saham baharu dan pengecualian hak keutamaan, berdasarkan Akta Syarikat 2016. - DagangNews.com








