4 bot FIC G2000 Mk II baharu buatan Gading Marine tambah aset TLDM di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

4 bot FIC G2000 Mk II baharu buatan Gading Marine tambah aset TLDM di Sabah

Bot FIC G2000 Mk II yang baharu diterima TLDM di Sabah
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 17 Julai - Operasi TLDM di Sabah di bawah Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) dipertingkatkan apabila menerima tambahan 4 buah bot pemintas laju (Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 Mk II.

 

Bot FIC buatan syarikat tempatan, Gading Marine (M) Sdn. Bhd. (Gading Marine) ini sememangnya telah terbukti dan menepati kehendak TLDM.

 

FIC G2000 Mk II ini dilengkapi dengan sistem persenjataan automatik iaitu Remote Control Weapon Station (RCWS) dan senjata mesingan berat (HMG) berkaliber 12.7mm.

 

 

 

 

 

Sistem ini membolehkan pengoperasian senjata jarak sederhana dengan ketepatan tinggi sekali gus meningkatkan keupayaan tempur serta keselamatan kru semasa operasi di lautan.

 

Kapal
Sistem RCWS dengan mesingan HMG 12.7mm.

 

Selain itu, bot ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 50 knot, menjadikannya sesuai untuk tugasan pintasan di kawasan perairan yang strategik. 

 

Keupayaan kelajuan tinggi ini diyakini dapat meningkatkan tindak balas dalam menangani ancaman di laut, khususnya di Wilayah Timur Sabah.

 

Ini kerana wilayah tersebut yang sering terdedah kepada risiko pencerobohan dan kegiatan jenayah rentas sempadan.

 

FIC G2000 Mk II ini merupakan sebahagian daripada 13 buah bot baharu yang diperoleh TLDM secara berperingkat-peringkat melalui tiga fasa. 

 

Kapal
Mohd Shaiful diberi penerangan tentang bot FIC G2000 Mk II.

 

Kapal
Mohd Shaiful (kanan) bersama Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Yusne Mokhtar (kiri) menyaksikan majlis menandatangani dokumen penyerahan bot antara Jamalolail dan Abdul Manan di Markas Mawilla, Sandakan, Sabah.
 

 

Sebelum ini bagi fasa pertama, 2 buah bot telah diserahkan secara rasmi kepada Mawilla 2 pada Februari 2024 menjadikan 6 buah kesemuanya di bawah kendalian markas tersebut.

 

Aset baharu seperti FIC G2000 Mk II dapat meningkatkan keupayaan TLDM bagi mendepani pelbagai cabaran di lautan.

 

Pada masa sama operasi FIC memperkukuh kesiapsiagaan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

 

Terdahulu, penyerahan rasmi 4 aset ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Pertahanan, Dato’ Mohd Shaiful Ibrahim di Mawilla 2, Sandakan, Sabah.

 

Kapal

 

Beliau menyaksikan upacara menandatangani dokumen serah terima antara wakil syarikat Gading Marine, Datuk Ir Jamalolail Mohd Yatim dan Komander Abdul Manan Mazlan mewakili TLDM.

 

Pada 2022 Gading Marine diberikan kontrak oleh Mindef untuk membina 13 buah bot FIC G2000 bagi menampung keperluan TLDM di Malaysia Timur.

 

Ia susulan penggunaan cemerlang 6 buah FIC G2000 Mk I yang diterima pada 2021 sepanjang penugasan semasa Ops Benteng.

 

Bot G2000 Mk II ini merupakan versi ketiga daripada varian bot Siri G2000 yang dibina oleh syarikat tersebut. - DagangNews.com