KUALA LUMPUR 7 Nov – Kementerian Kewangan (MOF) berkemungkinan melaksanakan opsyen jualan yang boleh menyaksikan tiga syarikat telekomunikasi utama tempatan membelanjakan hampir RM1 bilion.
Menurut CIMB Securities, ia melibatkan CelcomDigi Berhad, Maxis Bhd, dan YTL Power International Bhd bagi mengambil alih keseluruhan pegangan saham Digital Nasional Bhd (DNB) menjelang akhir tahun ini.
Kata firma penyelidikan tersebut, berdasarkan perjanjian pemegang saham antara DNB dan pelaburnya, MOF boleh bertindak mengaktifkan opsyen berkenaan dalam tempoh sebulan selepas 12 November 2025.
"Keadaan itu akan mewajibkan ketiga-tiga syarikat telekomunikasi tersebut untuk membeli kesemua saham biasa serta pinjaman pemegang saham sedia ada milik MOF," katanya dalam satu nota kajian.
Sekiranya MOF tidak melaksanakan opsyen itu, tiga syarikat berkenaan mempunyai tempoh sebulan berikutnya sehingga 12 Januari 2026 untuk menggunakan pula opsyen beli bagi tujuan yang sama.
Jelasnya, berdasarkan pelaburan ekuiti awal MOF sebanyak RM500 juta dan pinjaman serta pendahuluan pemegang saham kira-kira RM485 juta, keseluruhan pengambilalihan mungkin mencecah RM985 juta.
CIMB Securities menambah, ia bersamaan kira-kira RM328 juta bagi setiap syarikat dan menjangkakan kos tunai DNB dapat diturunkan kepada RM1.1 bilion pada FY26, daripada RM1.3 bilion pada FY24.
"Proses berkenaan bagaimanapun perlu disokong dengan usaha pengurangan kos kakitangan, lesen dan caj faedah, sekiranya pihak kerajaan menerusi MOF menyediakan pinjaman mudah," kata firma itu.
Justeru ujarnya, untuk menampung kos ini, yuran komitmen minimum 5G dijangka perlu purata antara RM270 juta hingga RM290 juta bagi setiap penyedia akses, selaras dengan andaian semasa pasaran.
Jika MOF keluar sepenuhnya daripada DNB katanya, maka CelcomDigi, Maxis dan YTL Power akan perlu mengambil kira 33.3% daripada kerugian bersih DNB bagi FY26 yang dianggarkan sekitar RM300 juta.
Keadaan ini tambah CIMB Securities, dijangka mengurangkan jumlah keuntungan bersih teras pada FY26 untuk CelcomDigi dan Maxis masing-masing sebanyak 5% dan 7%, walaupun cuma bersifat tanpa tunai.
"DNB turut mencatat hasil RM341 juta pada FY24, dengan kerugian bersih RM1.21 bilion dan kerugian kasar pula RM484 juta, manakala kos operasi rangkaian berjumlah RM665 juta," dedah firma itu lagi.
Kos berkenaan katanya, termasuk RM88 juta dalam fi pengawalseliaan, sementara caj pajakan kewangan mencecah RM383 juta dan pada masa sama, DNB perlu juga menanggung kos kakitangan iaitu RM131 juta.
Ia juga kata CIMB Securities memiliki hutang bersih yang mencecah RM4.43 bilion dengan tunai hanya sebanyak RM435 juta pada akhir tahun kewangan tersebut. - DagangNews.com








