2 tender projek pusat data diperoleh Southern Score mampu sumbang margin bersih 15% — Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

2 tender projek pusat data diperoleh Southern Score mampu sumbang margin bersih 15% — Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 DisSouthern Score Builders Berhad memulakan FY26 dengan kejayaan apabila anak syarikatnya berjaya memperoleh dua tender projek pusat data (DC) yang bernilai RM97.6 juta.


Menurut Phillip Capital, pemerolehan kontrak oleh Southern JE Electrical Engineering Sdn Bhd itu, dijangka menyumbang margin bersih 15% atau RM14.6 juta keuntungan sepanjang tempoh kontrak.


Tender tersebut kata firma penyelidikan itu, melibatkan kerja elektrik dan voltan rendah bagi projek sebuah kompleks DC, yang sudah bermula Oktober 2025 dan dijadual siap Disember 2026.


"Ia sekali gus menandakan kemenangan DC pertama Southern Score bagi FY26, dan buku tempahan DC kumpulan kini berjumlah RM300 juta, yang mewakili 19% daripada keseluruhannya," kata firma itu.


Phillip Capital menambah, sehingga kini, jumlah kemenangan kontrak tahun ke tarikh (YTD) telah mencapai RM235 juta, bersamaan 21% daripada anggaran penggantian FY26 sebanyak RM1.1 bilion.


Perkembangan positif tersebut jelas firma berkenaan, meningkatkan buku tempahan secara keseluruhan syarikat itu kepada sebanyak RM1.6 bilion atau kira-kira 7.2 kali perlindungan pendapatan FY25.


Buku tender Southern Score yang pelbagai berjumlah RM702 juta, merangkumi DC (29%), kediaman (36%), dan bangunan kerajaan (36%), serta memberi prospek pertumbuhan syarikat semakin kukuh.


"Kami masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran yang tidak berubah iaitu 75 sen, berasaskan kepada sasaran 18 kali pendapatan sesaham pada FY27," kata Phillip Capital.


Bagaimanapun firma itu memberi amaran risiko utama termasuk perubahan dasar kerajaan yang tidak dijangka dan ketidaktentuan harga bahan mentah dalam tempoh jangka pendek. - DagangNews.com