2 kesatuan sahkan ketiadaan wakil pekerja Malaysia di ILC disebabkan isu dalaman MTUC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

2 kesatuan sahkan ketiadaan wakil pekerja Malaysia di ILC disebabkan isu dalaman MTUC

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Jun — Ketiadaan wakil pekerja menyertai delegasi negara ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) 2025 di Switzerland ketika ini berpunca daripada kemelut dalaman Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sendiri.


Perkara tersebut disahkan MTUC Bahagian Sarawak dan Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) menerusi dua kenyataan berasingan sebagai mengulas isu berkenaan yang ditimbulkan Pengerusi Jawatankuasa Bersama Khas MTUC, J Solomon.


Mereka mengakui, wakil pekerja tidak dapat menghadiri ILC akibat krisis kepimpinan MTUC yang turut menghalang sebarang delegasi rasmi selain ia kini berada di bawah pentadbiran Jawatankuasa Bersama Khas yang dilantik oleh mahkamah.


"Ia diberi mandat khusus mengadakan pemilihan semula dalam tempoh tiga bulan, sepatutnya Mei 2025 tetapi ditunda sehingga Ogos ini, menyebabkan MTUC kehilangan peluang itu," kata Pengerusi MTUC Bahagian Sarawak, Zaidi Nasar. 


Beliau menegaskan, pihaknya ingin jawatankuasa itu memberi fokus sepenuhnya kepada isu pemilihan kepimpinan dan menghentikan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan banyak kekeliruan kepada pekerja serta pihak berkepentingan.


Keutamaan tambahnya, harus diberikan kepada ketelusan, keadilan, dan penyelesaian segera bagi memastikan MTUC selepas ini dapat kembali berfungsi sebagai badan kebangsaan yang memperjuangkan hak-hak pekerja tempatan secara efektif.  


"Kami menyeru semua pihak terbabit agar menumpukan kepada pelaksanaan pemilihan semula bagi menamatkan krisis ini serta MTUC mesti kembali sebagai organisasi pekerja yang dihormati dalam memperjuangkan hak pekerja," kata Zaidi.

 

Artikel berkaitan: Isu tiada wakil di ILC: J Solomon tiada hak bercakap bagi pihak MTUC


Semalam, bekas Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor menyelar kenyataan Solomon mempersoalkan tindakan Kementerian Sumber Manusia tidak memasukkan MTUC dalam delegasi Malaysia ke ILC dari 2 sehingga 13 Jun 2025.


Katanya, individu tersebut sebenarnya tiada hak pun bercakap bagi pihak MTUC dari sudut perundangan kerana Mahkamah Rayuan pada 21 Februari 2025 yang menetapkan jawatankuasa itu melaksanakan pemilihan semula kepimpinan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SBEU, Andrew Lo berkata, pihaknya kesal apabila dimaklumkan jawatankuasa tersebut telah menyalahgunakan kenyataan bagi membantah tindakan kerajaan yang tidak memberikan tauliah kepada MTUC.


Kenyataan sedemikian bukan dalam mandat jawatankuasa khas itu untuk mencalonkan mana-mana pegawai menjadi perwakilan dan sekiranya kepimpinan rasmi pun belum ada, Kementerian Sumber Manusia sendiri tidak dapat berbuat apa-apa.


"Kami ingin mengulangi bahawa dengan perintah persetujuan mahkamah, Jawatankuasa Khas Bersama hanya boleh berperanan untuk mengadakan Persidangan Perwakilan Khas dan melaksanakan pentadbiran MTUC sahaja," tambah Andrew.


Sebaliknya tegas beliau, jawatankuasa sementara itu tidak pula diberi sebarang mandat untuk mencalonkan sesiapa bagi menjadi delegasi Malaysia, atau mewakili MTUC, dalam mana-mana persidangan atau organisasi yang sah.


Tindakan dilakukan oleh Solomon itu katanya, boleh dilihat sebagai satu bentuk penghinaan kepada perintah mahkamah dan MTUC dikhuatiri boleh dikenakan tindakan perundangan susulan. - DagangNews.com