KUALA LUMPUR 7 Mac — Jumlah keseluruhan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kalangan rakyat negara ini yang berbangsa India adalah seramai 1,670 orang, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Sehingga 31 Disember 2024, bilangan mereka mewakili sebanyak 1.4 peratus daripada keseluruhan kekuatan anggota ATM yang melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan udara, laut dan darat," katanya.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan menyatakan demikian dalam jawapan Parlimen kepada soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) pada Khamis.
RSN Rayer ingin tahu bilangan warganegara Malaysia dalam kalangan kaum India yang telah menyertai ATM sama ada Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia atau tentera darat.
Mohamed Khaled menjelaskan, walaupun jumlahnya agak kecil, namun ATM sentiasa melakukan kempen bagi menarik anak-anak muda dengan membuat promosi di sekolah, pusat beli belah dan menyertai pelbagai pameran kerjaya di seluruh negara.
"Selain itu, pewujudan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), diharapkan dapat menarik minat golongan muda, terutamanya dalam kalangan bangsa Cina dan India untuk menyertai pasukan ATM," katanya.
Warganegara Malaysia berbangsa India kata Mohamed Khaled, turut menyumbang kepada usaha menjaga keamanan dan keselamatan negara, sama ada melalui peranan operasi, sokongan teknikal atau pentadbiran.
"Kehadiran mereka mencerminkan kepelbagaian etnik dalam ATM yang memainkan peranan signifikan bagi memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional kepada pasukan keselamatan negara," kata beliau. - DagangNews.com








