12 daripada 33 pemegang konsesi lebuh raya alami kerugian pada FY24, Dewan Rakyat diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

12 daripada 33 pemegang konsesi lebuh raya alami kerugian pada FY24, Dewan Rakyat diberitahu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Nov – Sebanyak 12 daripada 33 pemegang konsesi lebuh raya mencatat kerugian bagi tahun kewangan berakhir 2024, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.


Antaranya ialah Lebuh Raya Kuala Lumpur–Putrajaya, Kuala Lumpur–Karak, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 1, Lebuh Raya Kemuning–Shah Alam dan Lebuh Raya Bertingkat Damansara–Shah Alam.


Turut disenaraikan ialah Lebuh Raya Senai–Desaru, Lembah Klang Selatan, Setiawangsa–Pantai, Kajang–Seremban, Sungai Besi–Ulu Kelang, Terowong SMART dan Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat (WCE).

 

 

 

 

 


"Sebaliknya, 20 pemegang konsesi mencatat keuntungan, termasuk Lebuh Raya Utara-Selatan, ELITE, Butterworth–Kulim, Seremban–Port Dickson, Linkedua dan Jambatan Pulau Pinang," jelas Ahmad.


Selain itu tambahnya, LPT Fasa 2, Lebuh Raya Sungai Besi, Guthrie Corridor, Cheras–Kajang, Lebuh Raya Baharu Pantai, LDP, KESAS, DUKE, SPRINT, AKLEH, LATAR, SILK dan Jambatan Kedua Pulau Pinang.


Beliau menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat yang ingin tahu berapakah syarikat konsesi lebuh raya berjaya mencatatkan keuntungan.


Seterusnya, Ahmad menegaskan, data itu harus menjadi peringatan kepada pihak yang mencadangkan pembinaan lebuh raya baharu tanpa mengkaji kesesuaian aliran trafik dan kewangan jangka panjang.


Beliau menekankan bahawa projek lebuh raya yang kurang trafik sebenarnya berisiko apabila tidak memberikan keuntungan dan menjadi beban kos dengan akhirnya mungkin ditanggung oleh kerajaan.


“Sebagai contoh, cadangan lebuh raya di Pantai Timur dari Terengganu ke Kota Bharu dengan kadar tol yang dianggarkan RM70 dan kos pembinaan RM10 bilion perlu dinilai kewajarannya," tambah beliau.

 

 

 


 

 

 


Sekiranya projek laluan tersebut tidak berjaya, pihak kerajaan jelas Ahmad, kemungkinan perlu bertindak dengan mengambil alih dan kemudian menampung kerugian pengendali lebuh raya berkenaan.


Projek lebuh raya baharu katanya, perlu disokong unjuran trafik realistik dan pengiraan kewangan yang mantap bagi memastikan kesinambungan keuntungan dan mengurangkan risiko kos. - DagangNews.com