11 NGO gesa tangguh Akta Pekerja Gig berikutan kebimbangan risiko ekosistem industri tidak seimbang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

11 NGO gesa tangguh Akta Pekerja Gig berikutan kebimbangan risiko ekosistem industri tidak seimbang

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 Mac – Gabungan 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan melaksanakan segera tindakan moratorium atau penangguhan terhadap Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).


Langkah berkenaan dakwa mereka, susulan kebimbangan serius terhadap risiko ekosistem industri tidak seimbang, tekanan kos yang meningkat dan potensi 'kegagalan pasaran' dalam sektor ekonomi gig.


Dalam kenyataan bersama hari ini, gabungan NGO tersebut berkata, pelaksanaan akta itu ketika ini dilihat belum bersedia dari segi struktur, tadbir urus dan keselarasan realiti operasi industri.


"Antara isu kritikal ialah potensi lambakan tenaga kerja susulan takrifan pekerja gig terlalu umum, sekali gus menekan kadar pendapatan pemain tempatan selain mewujudkan persaingan tidak positif," katanya.


Kumpulan NGO itu merangkumi antaranya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) dan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia. 


Jelasnya, peruntukan yang sedia ada juga berisiko bertindih dengan undang-undang lain seperti Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, di samping membuka ruang kepada ketidakstabilan dalam industri gig.


Justeru, mereka bimbang penyalahgunaan jika mekanisme penguatkuasaan tidak diperjelaskan, selain membangkitkan kelemahan dalam cadangan penubuhan Tribunal Pekerja Gig dan Majlis Perundingan Gig.


"Dua entitit tersebut disifatkan sebagai masih belum matang, tidak mempunyai sebarang kuasa yang mengikat serta berisiko menambah lapisan birokrasi tanpa impak dasar secara jelas," katanya lagi.

 

gig_DagangNews


Selain itu, mereka menegaskan prosedur penyahaktifan akaun yang lebih panjang boleh menjejaskan keselamatan pengguna, manakala struktur hak berpersatuan pula dilihat lemah kerana tiada rundingan.


Pada masa sama, NGO itu memberi amaran Langkah pemformalan sektor gig di bawah Akta 872 berisiko mendedahkan pekerja kepada kewajipan cukai tanpa perlindungan pendapatan atau kestabilan hasil.


Ia sekali gus menambah beban kewangan kepada golongan berpendapatan tidak tetap, manakala isu kenaikan premium insurans turut menjadi perhatian terutama apabila kos operasi tiba-tiba meningkat.


"Kelazimannya peningkatan ini dijangka dipindahkan kepada pengguna melalui tambang lebih tinggi, seterusnya menekan permintaan pasaran dan menjejaskan pendapatan harian pekerja gig," katanya.


Tanpa intervensi dasar yang jelas tambahnya, pekerja gig akan berdepan ketidakseimbangan risiko-pulangan yang berterusan, sekali gus boleh mencetuskan kegagalan pasaran dalam jangka panjang.


Gabungan NGO itu juga mempersoalkan ketelusan proses libat urus, termasuk penglibatan entiti yang didakwa masih belum mempunyai status perundangan secara jelas Ketika proses rundingan dijalankan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Keadaan itu menimbulkan isu integriti dalam perangkaan dasar melibatkan lebih 1.2 juta penggiat gig, dan berdasarkan kepada situasi semasa, mereka turut mengemukakan beberapa tuntutan utama.


"Antaraya pelaksanaan moratorium sehingga kajian menyeluruh dimuktamadkan, penubuhan mekanisme bagi ujian dasar secara berfasa serta penilaian impak komprehensif merangkumi pelbagai aspek," katanya.


Gabungan tersebut menegaskan cadangan penangguhan akta itu bukan menolak inisiatif kerajaan, sebaliknya memastikan ia benar-benar holistik, praktikal dan berdaya tahan. - DagangNews.com